Menurut sumber Careta, senarai yang dikeluarkan oleh Kastam Malaysia itu ialah untuk memudahkan proses pencukaian SST yang bakal berlangsung pada 1 September kelak.
"Cukai SST tetap akan dikenakan pada kenderaan kepada pembeli. Yang tidak dikenakan cukai ialah harga komponen, barang mentah dan perkhidmatan yang dibekalkan oleh vendor untuk kenderaan yang dipasang secara tempatan atau CKD," ujar sumber industri yang memberitahu Careta sebentar tadi.
Sebelum ini, di bawah sistem GST, kesemua pembekal dan komponen dikenakan cukai. Bagi sistem SST pula, cukai hanya akan dikenakan pada harga terakhir kenderaan di dalam pasaran.
Menurut senarai dari Cadangan Barangan Dikecualikan Dari Cukai Kenderaan yang dimuatnaik ke laman web Kastam Malaysia, kenderaan penumpang dengan enjin tidak melebihi 2,500 cc tidak akan dikenakan cukai SST.
Motosikal dengan enjin tidak melebihi 800cc juga tidak akan dikenakan SST. Lebih menarik, alat ganti dan komponen untuk motosikal juga disenaraikan sebagai bebas SST.
Namun begitu, Careta masih merasakan cukai berdasarkan kapasiti enjin kenderaan ialah satu cara lapuk dan ketinggalan zaman.
Cukai kenderaan perlu berdasarkan kadar asap atau emission sesebuah kenderaan.