1. Menggunakan penyaman udara secara maksimum selepas memasuki kereta
Tabiat ini biasa dilakukan oleh pemandu. Masuk kereta dalam waktu panas kemudian menggunakan penyaman udara sehabis kuat.
Dengan membuka penyaman udara dengan kuat tanpa membuka tingkap hanya akan mengakibatkan udara panas berkumpul di dalam kereta.
Kaedah yang baik ialah dengan membuka pintu, menurunkan tingkap untuk seminit dua sebelum menutup pintu dan kemudian barulah menghidupkan penyaman udara.
2. Fungsi kitaran udara (air recirculation)
Dengan sentiasa menghidupkan fungsi ini akan mengakibatkan tingkap menjadi berkabus dan kurangnya daya penglihatan.
Kebanyakan kereta mempunyai fungsi Auto, gunakan fungsi tersebut di mana ia beroperasi secara automatik bagi mengelakkan tingkap berkabus dan seterusnya dapat menyejukkan penumpang.
3. Tidak menghidupkan penyaman udara pada waktu pagi
Memandu pada waktu pagi memang menyamankan terutama sekali jika keluar selepas subuh. Namun lebih elok jika penyaman udara dihidupkan bagi mencegah tingkap berkabus terutama sekali apabila suhu di luar semakin meningkat.
4. Menghalakan corong penyaman udara terus kepada individu
Memang seronok dan menyejukkan namun tabiat ini kurang elok memandangkan sebaran udara tidak sekata.
Talaan corong ke atas lebih baik supaya udara yang sejuk dapat disebarkan pada bahagian dalaman secara menyeluruh dan sampai kepada setiap penumpang.
5. Tidak melakukan penyelenggaraan berkala
Sama seperti minyak enjin, tayar, brek atau apa sahaja komponen, penyaman udara memerlukan penyelenggaraan berkala.
Kegagalan untuk menukar penapis udara kabin pada setiap 16,000 km sehingga 24,000 km akan mengakibatkan sistem penyaman udara menjadi kurang efektif.
Menurut SEAT, sekitar dua pertiga pemandu tidak sedar tentang risiko suhu tinggi dan dehidrasi. Kedua-dua keadaan ini boleh mengakibatkan keletihan, pening, sakit kepala dan mengurangkan masa tindak balas.
Tahukah anda berapa lama yang diambil oleh jurutera SEAT untuk membangungkan sistem penyaman udara kereta?
Tiga tahun.
Mereka mengkaji geometri saluran dan corong udara dengan kaedah 3D dan melakukan simulasi untuk menilai aliran udara di dalam kereta.
Penulis: Muhammad Md Tajudin