Bagaimana kereta diuji di Sahara dan Antartika tanpa ke sana pun!

oleh Muhammad Md Tajudin|
SEAT Leon e-HYBRID
SEAT Leon e-HYBRID
Satu daripada perkara menarik apabila anda meminati kejuruteraan kereta ialah pengujian di lapangan sebelum siap diluluskan dan memasuki fasa produksi.

Di sini, mereka yang terlibat di dalam aspek kejuruteraan dan teknikal boleh menilai hasil kerja dan menyempurnakannya mengikut perimeter ditetapkan.

Pengujian di lapangan atau dunia sebenar juga turut mendatangkan satu keterujaan apabila ia boleh dieksploitasi sebagai penjenamaan sesebuah model baharu.

Namun apa yang penting ialah model itu diuji di dalam pelbagai jenis keadaan seperti mendaki tanah tinggi, luar bandar dan sebagainya tidak kira malam atau siang.

Ini cara konvensional (old school) sebenarnya apabila dunia pengujian kenderaan semakin canggih dan maju.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
SEAT Leon e-HYBRID

 

Begitu canggih sehinggakan jurutera boleh ke pelbagai tempat dari puncak gunung Mont Blanc sehingga ke padang pasir Sahara melalui Antartika tanpa perlu bergerak lebih daripada sepuluh meter pun!

Rahsianya terletak pada program pengujian di dalam makmal yang lengkap dengan simulasi cuaca.

Berkongsi maklumat tentang program ini ialah bagaimana SEAT, sebuah syarikat dari Sepanyol menguji enjin hibrid dan elektrik mereka.

SEAT sebenarnya memiliki satu daripada pusat ujian terawal di Selatan Eropah bagi membuat pengujian di dalam keadaan luar biasa.

 

Ujian makmal SEAT

 

Di Pusat Teknikal Martorell, makmal suhu yang dimiliki SEAT membolehkan pengujian dibuat di dalam kepanasan paling ekstrem hingga air beku di dalam tempoh milisaat sahaja.

Sebagai contoh pada suhu -40 darjah selsius, Vicento Sancho, jurutera di Pusat Enjin SEAT membuat ujian mengenai tindak balas enjin SEAT Leon e-HYBRID baharu.

Sebelum program bermula pertama sekali beliau memakai jaket termal. Ini perkara yang wajib sebab suhunya bukan boleh dibuat main pada -40 darjah selsius.

Turut dipakai ialah kasut mendaki, sarung tangan dan sarung kepala.

Komponen yang diuji pula nampak ringkas tetapi penting. SEAT mahu tahu berapa lama masa diperlukan untuk motor elektrik atau hibrid boleh mencairkan cermin depan yang penuh dengan salji.

 

Ujian makmal SEAT

 

Berikut ialah ringkasan ujian yang dibuat SEAT di dalam makmal di Martorell:

  • Pertama sekali kereta dimasukkan (acclimatising) di dalam kebuk ujian selama sepuluh jam.
  • Kereta disembur dengan air dan menjadi ais.
  • Vicento Sancho masuk ke dalam kereta, hidupkan penyaman udara dan dalam tempoh 20 minit, lapisan ais yang pejal pada cermin depan menjadi cair sepenuhnya.
  • Selain ujian ini, staf di Pusat Enjin SEAT memeriksa kesemua komponen agar berfungsi dengan sempurna pada suhu tersebut dan walaupun dipandu ke Antartika kereta dapat memberikan 100 peratus prestasi diperlukan.

 

Ujian makmal SEAT

 

Di atas ialah contoh bagaimana kereta disejuk beku dan berikut pula bagaimana ia diuji pada suhu +60 darjah selsius:

  • Bilik dengan suhu +60 darjah selsius sebenarnya terletak di hadapan kebuk beku tadi.
  • Set kipas besar akan memanaskan bilik atau kebuk sehingga mencecah +60 darjah selsius dan panel lampunya menghasilkan tahap kepanasan seperti di bawah matahari di padang pasir.
  • Pakaian mestilah ditukar dan perkara paling penting ialah memakai cermin mata keselamatan bagi melindungi mata.
  • Menurut Vicento Sancho, ujian ini perlu bagi memeriksa ketahanan kesemua komponen di bawah cuaca panas melampau.
  • Satu lagi perkara penting ialah bagi memastikan kereta dapat bertahan dengan sinar matahari ultraviolet.
  • Ianya bukan sahaja untuk komponen tetapi juga termasuk kualiti warna atau cat kereta.

 

Ujian makmal SEAT

 

Selain ujian sejuk beku dan panas membahang, ujian kedudukan tinggi juga dibuat:

  • Ketinggian satu aspek penting di dalam pengujian, contoh mudah bagaimana keupayaan mendaki Genting Highlands sering dijadikan penentu prestasi sesebuah kereta di negara kita.
  • Jika diikutkan bukan semua pemilik memandu kereta sehingga ketinggian 5,000 meter.
  • Namun, pengeluar kereta tidak boleh membuat kesimpulan mudah dan apa yang perlu diuji tetap perlu diuji.
  • SEAT contohnya merupakan jenama penting di Mexico dan di sana memandu sehingga kedudukan tinggi adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
  • Untuk ujian ini, staf yang menguji kereta pada ketinggian tersebut (protokol/persekitaran ujian) perlu menjalani pemeriksaan perubatan sebelum dibenarkan masuk ke fasiliti ujian dan memandu selama berjam-jam.

 

Ujian makmal SEAT

 

  • Selain itu, staf ujian juga hanya dibenarkan membuat kerja dan jangan sampai kepada ketinggian 3,000 meter.
  • Ujian seperti ini kebiasaanya melibatkan udara yang nipis dan halaju udara tempat tinggi yang disimulasi di dalam makmal.
  • Sukatan yang digunakan ialah 540 mbar (tekanan udara) dan di sini teknologi dan robot memainkan peranan dan mengambil alih kerja dari jurutera.
  • Robot yang ditugaskan akan menerima arahan daripada simulator di luar bilik dan memandu kereta sehingga ke puncak gunung tanpa sebarang gangguan. 
  • Hebat bukan? Ke tempat tinggi tanpa keluar makmal pun!.

 

Ujian makmal SEAT

 

Bukan setakat ujian lapangan, tempat uji enjin pun mesti ada:

  • Selain kebuk ujian cuaca, SEAT mempunyai sembilan mesin pengujian enjin pelbagai tenaga yang membolehkan sebarang enjin diuji bermula dari peringkat pembangunan sehingga pentauliahan.
  • Mesin itu berfungsi 24 jam sehari dan melakukan lebih 14,000 ujian enjin setiap tahun dengan fokus pada elektrifikasi.

Secara kesimpulannya, ujian di lapangan atau dunia sebenar tetap perlu dilakukan disebabkan ciri-ciri unik pada manusia itu sendiri.

Hebat mana pun teknologi, sesebuah kereta tetap dibawa keluar untuk merasai pengalaman dan input yang lebih komprehensif.

Di sini kita boleh lihat bagaimana kecanggihan teknologi dan kaedah konvensional diintegrasi dan disepadukan untuk menghasilkan kereta sempurna di mata pelanggan.

 

SEAT Leon e-HYBRID

 

Bagaimanapun tidak dinafikan, kecangggihan teknologi pengujian juga boleh menghasilkan sesebuah kereta yang tahu-tahu atau diam-diam sahaja terus siap!

Uji tetap diuji cuma dibuat di lokasi yang bukan menjadi tumpuan pasaran setempat.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

SEAT Leon e-HYBRID