Loke juga mengumumkan pemberhentian program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang menawarkan lesen memandu/menunggang dengan harga mampu atau secara percuma dari JPJ.
"Semua perlu ke sekolah memandu. JPJ tidak akan turun pergi kepada mereka untuk memberikan lesen," ujar Loke.
Program SKSJ telah dimulakan sejak tahun 2009 dan seramai 140,647 pengguna jalanraya telah mendapatkan lesen mereka melalui kempen itu (sehingga hujung 2017). Sasaran SKSJ ialah golongan tua yang masih menunggang motosikal tanpa lesen dan kerana itu mereka tidak mmpunyai perlindungan insuran yang sah.
Menteri Pengangkutan turut mengumumkan kempen keselamatan yang baharu akan diperkenalkan untuk perayaan Tahun Baharu Cina kelak kerana beliau tidak berpuas hati dengan kadar kemalangan yang tinggi semasa musim perayaan Aidilfitri tempohari.
Ini ialah kali pertama seorang Menteri Pengangkutan menyuarakan perasaan tidak puas hati akan jumlah kemalangan walaupun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan Ops Selamat 13/2018 sempena Hari Raya Aidilfitri telah berjaya kerana mencatatkan penurunan kes kematian dan menurut PDRM, ia membuktikan keberkesanan strategi mereka.
Sudah sampai masa negara mula memandang serius akan kempen keselamatan jalanraya dan jangan hanya berharap kepada sekatan jalanraya dan perangkap halaju sahaja. Pihak PDRM dan JPJ perlu bekerjasama dan melakukan kempen-kempen berterusan untuk mendidik pengguna jalanraya.
Selama ini, pengumuman kempen dilakukan menjelang perayaan dan lebih bertumpu kepada peningkatan pengawasan dan bukan ke arah menukar tabiat pemandu. Selepas saman diberikan, diskaun pula ditawarkan untuk memujuk pesalah agar membayar saman.