Oleh kerana peraturan kei jidosha (kereta 660cc ke bawah) di Jepun yang sangat ketat, Daihatsu menggunakan kepakaran mereka mengekalkan dimensi asal kei-car mereka (panjang x lebar x tinggi yang sama), akan tetapi merombak kembali rekaan kereta supaya tidak kelihatan sama seperti model terdahulu.
Direka khas untuk golongan wanita, Daihatsu Mira Tocot menampilkan elemen retro dan moden pada masa yang sama, ditambah dengan pemilihan warna yang amat menarik perhatian golongan sasaran tersebut.
Hasilnya, sebuah kenderaan yang tampak menarik, dan ringkas serta tidak terlalu banyak garisan badan yang sibuk sebagaimana rekaan kereta moden masa kini.
Penggunaan elemen dua tona terus mempengaruhi ruang dalaman bagi memberikan efek keluasan pada kereta bandar yang kecil ini, terutama di bahagian trim pintu dan juga kerusi pemandu dan penumpang.
Daihatsu Mira Tocot dijangka akan dilengkapkan dengan ciri Smart Assist III yang turut termasuk Amaran Penukaran Laluan (Lane Departure Warning), Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning) dan Lampu Suluhan Tinggi Automatik (Automatic High Beam).
Selain daripada itu, Mira Tocot juga akan hadir dengan ciri standard enam beg udara termasuklah beg udara SRS di bahagian sisi dan tirai manakala ciri pandangan sekeliling 360 darjah hanya akan ditawarkan pada model premium sahaja.
Daihatsu memberikan pelbagai pilihan warna yang amat menarik untuk kereta comel ini termasuklah Sunny Day Blue, Ceramic Green dan juga Lemon Squash Crystal Metallic.
Harga jualan di Jepun bermula dari 1,074,600 yen (RM39k++) sehinggalah 1,426,500 yen (RM52k++) untuk versi premium.
Sumber: Response JP