Volvo Cars sekali lagi menunjukkan bahawa alam sekitar adalah perkara yang diberi perhatian dengan mengambil insiatif bebas plastik di pejabat, kantin dan juga acara.
Insiatif ini akan dilaksanakan bermula hujung tahun depan di seluruh lokasi dan acara Volvo di serata dunia.
Keputusan ini diambil bagi menzahirkan sokongan terhadap kempen UN Environment Clean Seas dan juga usaha syarikat dalam mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar.
Nampak seperti biasa-biasa sahaja tetapi penggunaan plastik begitu besar. Volvo mahu menggantikan lebih dari 20 juta penggunaan plastik seperti cawan, bekas dan peralatan makanan dengan alternatif yang lebih baik seperti produk biodegradable yang diperbuat daripada kertas, pulpa atau kayu.
Jumlah tersebut bersamaan dengan 500 item plastik dari setiap pekerja untuk tempoh setahun.
Penggantian plastik tersebut akan dilakukan secara beransur-ansur. Menjelang hujung 2018, plastik tidak akan digunakan dalam acara serata dunia seperti pelancaran model baharu termasuk juga di pejabat, restoran serta fasiliti Volvo di China, Belgium, Amerika Syarikat, Sweden dan Malaysia.
Volvo menjangkakan hasil daripada tindakan yang dibuat pada 2018 sebanyak 140 tan plastik akan berjaya digantikan dengan bahan alternatif lain.
Pada skala yang lebih besar, Volvo mahu kesemua model yang dilancarkan pada tahun 2020 mempunyai teknologi elektrifikasi.
Menjelang 2025 pula, separuh daripada jualan pula adalah model elektrik sepenuhnya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin