Tidak sangka, Evo Day 2018 yang dianjurkan oleh Kelab Mitsubishi Evolution Malaysia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan bila 300 buah jentera Evo hadir di padang Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.
Tahun lalu, acara yang sama telah dilakukan di Phuket, atas anjuran kelab Evosouth Thailand dan kontinjen Malaysia hadir dengan 50 buah Evo.
Acara Evo Day 2018 mendapat sokongan dan bantuan dari bukan sahaja kelab Evo Thailand, tetapi dari kelab-kelab serupa dari Singapura, Brunei, Indonesia dan juga Laos. Malah acara Evo Day Malaysia menemukan pemilik-pemilik Evo dari enam negara!
Ia juga dihadiri oleh pemilik-pemilik Evo yang bukan ahli kelab TDM dan TDM menggunakan peluang keemasan itu untuk menarik mereka agar mendaftar menjadi ahli TDM.
TDM ialah sebuah kelab berdaftar dan ditubuhkan dalam tahun 2012. Ia mempunyai 250 orang ahli sekarang ini dan menggabungkan pemilik-pemilik kenderaan Mitsubishi Evolution dari semua generasi.
Program Evo Day ini mendapat tajaan dari Mitsubishi Motors Malaysia, Lofty Ambition Sdn Bhd, Kelab Belia, Sukan dan Sumber Manusia Perak serta beberapa penaja lain yang majoritinya terdiri dari syarikat-syarikat milik ahli-ahli kelab sendiri.
Pemilik-pemilik Evo itu juga menyumbang kutipan derma mereka kepada rumah anak yatim dan fakir miskin Yayasan An-Nur Maisarah di Chemor, Perak.
Syabas kerana berjaya menaikan lagi nama negara dengan acara yang menarik ini. Semoga ahli-ahli kelab akan mengeratkan lagi ukhuwah dan menghasilkan lagi acara-acara yang lebih menarik.