Kia Grand Carnival 2.2D SX ini masih mengekalkan penggunaan enjin diesel turbo 2.2 liter menghasilkan 190 kuasa kuda dan 440Nm kuasa tork, cukup berkuasa bagi menggerakkan MPV besar ini. Kuasa enjin diesel ini disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik enam kelajuan.
Ia juga dilengkapi lampu HID dengan Diamond Glitter Type Positioning Lamp dan Auto Levelling System. Kemasan gril hadapan pula menggunakan bahan berkilat berwarna hitam.
Bahagian kabin pula menampilkan penggunaan warna dua tona pada kerusi dengan kemasan kayu. Varian SX ini juga hadir dengan sistem audio dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto bersaiz 8 inci dan dilengkapi dengan enam buah speaker dan sambungan USB.
Bagi kegunaan hiburan penumpang belakang, terdapat dua skrin monitor yang diletakkan di belakang tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan dengan sokongan Wi-Fi.
Ciri-ciri keselamatan pula tidak kurang hebatnya apabila varian ini hadir dengan kawalan kestabilan kenderaan (ESC), bantuan mula mendaki (HSA), enam buah beg udara dan lampu HID dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL).
Terdapat empat pilihan warna termasuklah Snow White Pearl, Aurora Black Pearl, Blackberry dan Silky Silver.
Grand Carnival SX ini dijual pada harga RM188,888 atas jalan tanpa insurans sekaligus menggantikan varian EX yang telah dihentikan penawarannya. Para pembeli boleh melihat dengan lebih dekat dan memandu uji varian SX ini di kesemua ruang pameran rasmi Naza KIA.