Apa jadi dengan Kia Malaysia?

oleh HEZERI SAMSURI|
Semua sudah tahu bahawa Kumpulan Naza sudah tidak mahu lagi dengan dua jenama automotif ini - Kia dan Peugeot.

Untuk pemilik dan peminat Singa Perancis, buku lama telah ditutup kerana jenama itu kini secara rasminya diambil alih oleh Berjaya Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB), syarikat baharu usahasama Bermaz Auto dan Berjaya Corp.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ramai menghela nafas lega kerana veteran industri automotif, Datuk Ben Yeoh pastinya akan membawa Peugeot ke arah yang lebih tinggi. Ben adalah orang lama yang tidak perlu menjadi superstar media sosial untuk menjaga egonya kerana rekod lampau beliau memang terbukti.

Dari sebuah jenama sejuk kokol, Ben berjaya menjadikan Mazda sebagai sebuah jenama yang mampu mencabar Toyota, Honda dan juga Proton di Malaysia.

Sayangnya jenama Kia masih terumbang-ambing. Yang pasti, banyak pusat jualan dan pusat servis telah ditutup, termasuk Kia Red Cube di Petaling Jaya - pusat jualan dan pusat servis "flagship" bagi Kia di Malaysia.

Kilang pemasangan kenderaan Naza di Gurun pula sudah dijual kepada Peugeot, dan samada ia akan memasang kenderaan jenama Kia di masa hadapan adalah satu isu juga kerana tanpa CKD, harga kenderaan akan melambung naik, seperti yang dilihat pada produk-produk terbaharu Hyundai.

Ramai pemilik Kia yang dijanjikan pakej servis percuma terkejut kerana diberitakan mereka kini perlu membayar untuk servis tersebut. Dari siasatan kami, hanya Kia Puchong yang masih menawarkan servis percuma, sehingga mereka mampu.

Selain dari itu, pembaikan di bawah waranti turut tergendala. Ada pemilik yang sekian lama menunggu alatganti di bawah waranti, dan mereka masih tertunggu-tunggu.

 

 

Pemilik Kia juga dahulu ditawarkan pakej KV5, di mana kenderaan mereka dijamin akan dibeli semula oleh Kia Malaysia selepas lima tahun pada harga minimum 50 peratus dari harga pembelian.

Pemilik-pemilik yang mengambil pakej KV5 perlu menghantar kenderaan mereka ke Kia sahaja untuk diservis dan insurans juga hanya boleh dibeli dari agen insurans Naza sahaja - jika engkar, kontrak KV5 terbatal.

Sekarang ini, pemilik-pemilik tertanya-tanya apa akan jadi pada pakej KV5 - adakah ia masih wujud, atau sudah tidak. Adakah mereka masih perlu membeli insurans dari Naza juga, atau tidak.

Yang paling menyedihkan, tidak ada sesiapa pun dari Naza Kia yang mampu memberi jawapan. Soalan kami menerusi panggilan telefon minggu lalu masih tidak dijawab.

Jika kita bertanya kepada mana-mana pemilik produk Kia, rata-rata akan berkata mereka gembira dengan kenderaan masing-masing.

Berkualiti, berbaloi dengan harga, bertenaga, cantik dan selesa adalah antara apa yang mereka akan katakan. Dari Kia Picanto kepada Kia Grand Carnival, semuanya menyukai kenderaan pilihan mereka itu. 

 

 

 

Jika jenama ini tidak kuat dan tidak membuktikan sesuatu, kenapa pula Kia tidak mempunyai masalah untuk menghabiskan kesemua stok Kia Stinger yang berharga RM383,888 itu?

Walaupun Kumpulan Naza sudah beralih arah dan lebih mahu menumpukan perniagaan mereka kepada industri lain, nasib pelanggan-pelanggan yang sedia ada tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Ini ialah kerana mereka telah dijanjikan sesuatu, dan dari segi moral, janji itu perlu ditepati. Hanya anak kecil sahaja yang akan membuang mainannya bila bosan.  

Pemilik-pemilik Kia dan kakitangan Naza Kia sekarang mahukan jawapan mengenai halatuju jenama tersebut. 

Cuma satu sahaja yang saya kira positif dalam kemelut Naza Kia ini - untuk mereka yang mahu membeli kenderaan terpakai jenama Kia, ini ialah masanya kerana harga terpakainya sudah menurun sedikit.

Tapi saya pasti, bila Ben Yeoh sudah masuk memegang Kia, harganya saya syak akan meningkat kerana hanya jauhari mengenal manikam, hanya pemilik Kia yang faham kenapa.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Dibina di atas platform E-GMP, ia juga lebih kecil berbanding dengan EV6 yang sudah dijual di…
Berita Global
Dalam video tersebut yang dibintangi oleh bintang sukan terkenal di Australia, termasuk bintang AFL…