Dua pemandu Perodua Myvi dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas didapati memandu secara merbahaya hingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE tiga tahun lalu.
Siti Noor Aini Mohd Said, 38, dan Mohamad Fizal Reza Jamauddin, 33, disabitkan bersalah di atas pertuduhan mereka kerana pembelaan mereka menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwa.
Kedua mereka turut digantung lesen memandu selama lima tahun dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara tambahan dua tahun sekiranya gagal membayar denda. Keduanya membayar denda yang ditetapkan.
Majistret Zilfinaz Abbas berkata keterangan kedua-duanya tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan kedua peguam mereka untuk menangguhkan hukuman penjara kerana akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Kemalangan tersebut yang mendapat perhatian meluas dari media masa dan tular di media sosial berlaku di Kilometer 6, Lebuhraya DUKE hala Ulu Klang ke Jalan Duta, antara ham 12.31 tengah malam dan 1.05 pagi, 2 Mei 2015.
Kedua ahli kelab kereta Myvi itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.
Pada 10 November tahun lalu, kedua-duanya diarah membela diri selepas mahkamah mendapati terdapat prima facie ke atas pertuduhan yang dihadapi mereka.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norakmal Farhan telah mengemukakan seramai 18 saksi di peringkat pendakwaan manakala pembelaan memanggil dua saksi.
Diharapkan agar ini menjadi tauladan kepada semua. Jangan terlalu ghairah semasa berkonvoi sehingga menyebabkan kesusahan kepada pelbagai pihak lain.
Di bawah ialah sedutan video gambaran Mitsubishi Pajero Sport dan Perodua-Perodua Myvi terbabit.