Wartawan Amerika sifatkan VinFast VF8 'kereta tak siap'

oleh Mohamad Hanif|
Untuk sebuah syarikat automotif yang baru berumur setahun jagung, VinFast (bukan Vin Diesel) perlu menempuh laluan yang cukup sukar dalam menghasilkan sebuah produk automotif yang mampu memberikan kepuasan kepada semua pihak.
BHPETROL Euro5 Diesel MREC Banner Campaign Sep 2023

Baru-baru ini media permotoran Amerika Syarikat telah mengeluarkan laporan pandu uji masing-masing untuk sebuah model VinFast berkuasa elektrik, iaitu SUV VF8.

VinFast VF8 membawakan spesifikasi motor elektrik berkuasa 402 hp yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat, pek bateri 87.7 kWh dengan jarak gerak sejauh 472 km dan harga jualan bermula dari $49,000 (RM218,663).
 

VF8


Berdasarkan pembacaan di beberapa laman web automotif, rata-rata mereka yang telah menguji VF8 meluahkan rasa tidak puas hati dengan apa yang ditawarkan oleh syarikat kereta dari Vietnam itu.

Seperti contoh, Scott Evans dari laman Motor Trend melaporkan SUV tersebut mempunyai masalah pada sistem kawalan HVAC (pemanasan, ventilasi dan pendingin hawa), selain lampu isyarat membelok yang langsung tidak berfungsi.

Malah, kereta tersebut dilapor 'menggigil kuat' saat pemandu memasukkan posisi gear mengundur.
 

VinFast


Steven Ewing dari InsideEVs mendakwa talaan kepada sistem suspensi yang tidak betul menjadikan pemanduan VF8 adalah sangat tidak selesa dan boleh menyebabkan seseorang mengalami mabuk darat.

Respons stereng juga didapati tidak konsisten dan tiada sebarang maklum balas diperoleh sepanjang pemanduan, di mana ia menjadi sukar dikawal saat pemandu memilih mod pemanduan Sport.

Biarpun rekaan luaran VinFast VF8 ini datangnya daripada firma rekaan Itali Pininfarina, namun ia tetap tidak dapat lari daripada masalah kualiti binaan yang teruk.

 


Seperti yang dilaporkan oleh CarBuzz, VF8 mempunyai masalah jurang panel (gap panel) yang sangat besar di beberapa tempat seperti pintu tailgate dan pintu penumpang belakang, kemasan cat yang tidak begitu baik, serta unit lampu brek ketiga yang pecah.

VinFast mempunyai cita-cita yang sangat besar untuk menawan pasaran Amerika Syarikat, namun yang pasti mereka kini perlu menangani sekatan jalan terbesar - meyakinkan para pelanggan sedia ada dan menarik minat golongan pembeli baharu supaya mereka tidak dikenali sebagai 'penjual kereta yang tidak siap'.

Sumber: Jalopnik

Berita Berkenaan

Berita Global
Dari segi jualan setakat ini, VinFast hanya mencatatkan 11,300 unit jualan, dengan 7,000 unit…
Berita Global
Menurut CEO VinFast, Thuy Le semasa Persidangan Perniagaan dan Pelaburan Asean di Jakarta minggu…
Berita Global
Menurut laporan Automotive News, sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini, pengeluar automotif…