Warga emas pandu lawan arus tampil serah diri

oleh Penyumbang Rencana|
tangkap layar dari video/Sinar Harian
Seorang lelaki warga emas yang dikesan memandu secara melawan arus dan mengabaikan isyarat lalu lintas di Jalan Mahkota di Kuantan seperti yang tular di laman sosial sejak Sabtu telah hadir menyerah diri di Balai Polis Trafik Kuantan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, warga emas berusia 71 tahun itu datang ditemani waris.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mempunyai masalah kesihatan dan tidak lagi kompeten untuk memandu kenderaan.

"Kereta jenis Perodua Myvi yang digunakan didaftarkan atas nama salah seorang anaknya yang tinggal di Kuala Lumpur," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menyedari video tular itu kira-kira jam 2.30 petang selepas dikongsi seorang pengguna Facebook.

"Video terbabit memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu seorang lelaki bersama penumpang bergerak dalam keadaan melawan arus.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 11 pagi Jumaat lalu di Jalan Mahkota berhampiran sebuah pasar raya di sini dan pemandu tersebut didapati memandu secara melulu melawan arus dari arah Jalan Mahkota ke arah Jalan Bank," jelasnya.

Beliau berkata, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Notis saman di bawah seksyen sama juga dikeluarkan ke atas suspek atas kesalahan pengabaian isyarat lalu lintas (lawan arus)," katanya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Majistret Nur Faezah Jafry menjatuhkan hukuman itu terhadap Sahid Asik pada Jumaat (17 Mei) dan…
Berita Global
Pada jam 1 pagi (waktu tempatan), polis menerima panggilan mengenai kenderaan yang memandu secara…
Berita Domestik
"Kita mengesan video tular memaparkan kejadian sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu dipandu…