Volkswagen California 6.1, keseronokan jelajah dunia bersama keluarga

oleh Muhammad Md Tajudin|
Jenama Volkswagen walaupun terkenal dengan model-model moden seperti Polo, Golf dan Passat tetap diingati sebagai pengeluar Beetle dan van Kombi. Kedua-dua model klasik ini mempunyai sejarah yang panjang dan mempunyai pengikut tersendiri.

Cetusan minat tersebut menjadikan Beetle dan Kombi menjadi buruan dan tidak menghairankan apabila harganya begitu tinggi.

Baru-baru ini VW telah mengumumkan penamatan pengeluaran Beetle A5 setelah lapan tahun di pasaran sejak dilancarkan pada 2011. Agak menyedihkan tambahan pula tiada pengumuman rasmi mengenai model pengganti.

Mungkin juga Beetle hadir dalam bentuk kenderaan elektrik atau siri I.D. selepas VW mempertontonkan Buggy pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva pada Mac lalu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Volkswagen California 6.1

 

Berbeza nasib dengan Beetle yang tidak pasti, VW masih lagi mengeluarkan evolusi Kombi atau dikenali sebagai Transporter sehingga sekarang.

Lebih mempesonakan apabila VW bakal mempertontonkan California 6.1 baharu buat kali pertama pada penghujung Ogos sempena acara Caravan Salon di Düsseldorf, Jerman.

VW California adalah varian daripada Transporter T6 atau Bulli generasi keenam. Van ini mempunyai beberapa varian seperti penumpang, perdagangan termasuklah van pekhemah (camper) seperti California.

VW California sememangnya pilihan utama pengembara di serata dunia, jualannya telah pun melebihi 175,000 unit. Model yang dipertontonkan di Caravan Salon nanti adalah yang terbaru dengan pelbagai pembaharuan pada bahagian luar dan dalam.

 

Volkswagen California 6.1

 

Di antara pembaharuan dilakukan ialah set dapur dengan kemasan baru dan lebih digital melalui tambahan dua soket USB. Kemudahan tersebut boleh digunakan mengecas kipas USB sewaktu menggunakan dapur atau semasa menyediakan sarapan untuk keluarga.

Tilam pula kini lebih selesa dengan tapak berspring manakala kerusi belakang berkembar yang dilipat menjadi tilam turut boleh berfungsi sebagai lounge. California T6.1 dilengkapi fungsi canggih melalui skrin kawalan yang diletakkan di siling depan.

Skrin sesentuh tersebut mempunyai pelbagai maklumat dan kawalan digital seperti mod Camping, Box, Light dan Set-up. Bumbung boleh buka atau pop-up menggunakan pelarasan electro-hydraulic dan turut boleh dilaras melalui menu Pop-up Roof.

 

Volkswagen California 6.1

 

Kawalan digital tidak terhad di situ, pengguna turut ditawarkan Digital Cockpit pada panel instrumen seperti kereta premium hari ini.

Selari dengan model penumpang VW lain, van pekhemah ini canggih apabila stereng berkuasa hidraulik digantikan dengan stereng berkuasa electro-mechanical. Penggantian tersebut membolehkan stereng dipadankan dengan teknologi bantuan pemandu. 

Di antara sistem tersebut ialah Bantuan Laluan, Bantuan Parkir, perlindungan sisi dengan memberi amaran terhadap halangan sewaktu memandu dan Bantuan Treler yang memudahkan pemanduan apabila menarik treler di belakang. Turut dilengkapi ialah Bantuan Angin Lintang yang menstabilkan van apabila berlakunya angin kuat.

 

VW California 6.1

 

Dari segi kuasa VW California 6.1 digerakkan oleh enjin 2.0 liter turbo diesel dengan dua pilihan pacuan iaitu dua roda depan atau kesemua roda (AWD).

VW masih belum mendedahkan harga untuk van pekhemah ini dan untuk pengguna tempatan, harap maaf ianya tidak dibawa masuk secara rasmi.

Jika anda betul-betul berminat, tiada halangan sebenarnya kerana komuniti van pekhemah tempatan semakin berkembang dan sudah banyak van yang anda boleh digunakan sebagai rujukan. Benda boleh bikin asalkan ada minat dan modal.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen California 6.1

Berita Berkenaan

Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…
Berita Global
   Volkswagen ID.3 GTX Hatchback elektrik ini ditawarkan di dalam dua varian iaitu ID.3 GTX dan…
Berita Global
Hot hatch pacuan semua roda itu dilihat memakai pelekat samaran dengan corak peringatan '50 years…