Volkswagen Caddy 2020 - Van bergaya macam kereta penumpang

oleh Muhammad Md Tajudin|
Masih ingat tentang Renault Kangoo? Pada satu ketika van itu mudah ditemui di atas jalan raya dan menarik mengenainya ialah kegunaan yang pelbagai. Kangoo boleh dibuat van komersial dan juga penumpang.

Van seperti Kangoo mudah ditemui di Eropah dan di antara pesaingnya ialah Volkswagen Caddy.

Van generasi kelima itu baru sahaja didedahkan di Düsseldorf, Jerman pada 21 Februari.

Caddy adalah model popular dengan jumlah pengeluaran sehingga kini telah melebihi tiga juta unit.

Volkswagen Caddy.01

 

Caddy generasi kelima tampil bergaya dengan gayaan kereta penumpang di samping versatiliti sebagai sebuah van, MPV famili dan camper. 

Ia dibina menggunakan platform Modular Transverse Matrix (MQB) dan berjaya diterjemahkan dengan reka bentuk karismatik.

Selain itu, pekali seret (Cd) berjaya dikurangkan dari 0.33 kepada 0.30.

Bagi memenuhi kehendak pelbagai jenis pelanggan, Caddy ditawarkan dengan kelengkapan pilihan seperti bantuan penutupan pintu gelungsur dan belakang elektrik dan menariknya bumbung suria panoramik.

Bumbung kaca itu begitu besar dengan saiz 1.4 m2 mendominasi bahagian atas kerusi baris pertama dan kedua.

Turut ditawarkan ialah saiz roda sehingga 18 inci dan lampu utama dan belakang jenis LED.

 

Volkswagen Caddy.01

 

Gayaan badan Caddy dibahagikan tiga iaitu Cargo (van panel), estate (penumpang dengan tingkap) dan pelbagai varian penumpang atau MPV. 

Tatanama untuk versi penumpang bermula dari Caddy (asas) diikuti Life dan Style bagi varian premium. 

Caddy juga canggih dengan 19 sistem bantuan pemandu dan enam daripada itu baharu sepenuhnya.

Di antara sistem itu ialah Travel Assist yang pertama kali ditawarkan untuk kenderaan komersial VW, Trailer Assist, Side Assist dan Rear Traffic Alert.

Menggerakkan Caddy adalah beberapa pilihan enjin yang mematuhi standard Euro 6 2021. Di antaranya ialah 2.0 liter diesel TDI dengan transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan klac berkembar.

Juga ditawarkan ialah 1.5 turbo TSI dan enjin supercaj gas asli (TGI).

 

Volkswagen Caddy.01

 

Dengan reka bentuk dinamik dan fokus sebagai kereta penumpang, Caddy dijangka akan terus popular di Eropah dan segmen sepertinya mempunyai potensi jika ditawarkan di negara kita.

Jika tidak sebagai kereta penumpang pun, Caddy boleh menyaingi Nissan NV200 dan Daihatsu Gran Max.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Global
Merujuk kepada gambar yang dibekalkan, Volkwagen Caddy digambarkan sebagai sebuah minivan/van panel…