Rekaannya banyak diinspirasikan daripada jentera McLaren Elva M1A yang wujud pada era 1960-an, menampilkan rekaan tanpa bumbung dan juga cermin pelindung angin (windscreen).
Jadi, secara teorinya, anda tidak mempunyai sebarang perlindungan langsung terhadap rintangan angin ketika kelajuan tinggi.
Namun, terima kasih kepada kejuruteraan aerodinamik pintar yang digelar sebagai Active Air Management System (AAMS), rambut anda tidak akan mengerbang walaupun berada di kelajuan 110 km/j!
Sistem AAMS ini menggunakan komponen deflektor karbon mudah alih yang mampu mengalirkan udara berkelajuan tinggi dari hidung Elva ke arah belakang dengan mencipta sebuah 'gelembung aerodinamik' yang 'melindungi' pemandu dan penumpang, seterusnya menjadikan ruang kabin lebih selesa tanpa gangguan aliran udara itu tadi.
Sistem ini akan diaktifkan saat McLaren Elva memasuki ruang kelajuan yang tinggi, dan sekiranya anda tidak memerlukan sistem ini, ia boleh dimatikan supaya udara itu tadi disalurkan bagi menyejukkan ruangan enjin.
McLaren Elva didatangkan dengan nadi bentangan V8 4.0 liter dengan kuasa 804 hp yang jauh lebih tinggi berbanding 720S.
Dengan berat bersih sekitar 1,198 kg sahaja terima kasih kepada casis gentian karbon, McLaren Elva mampu mencapai kepantasan pecutan 0-100 km/j bawah tiga saat dan 0-200 km/j dalam 6.7 saat sahaja.
Seperti kenderaan Ultimate Series McLaren yang lain, McLaren Elva hanya akan dihasilkan dalam unit terhad, iaitu 399 unit sahaja, dengan harga jualan bermula dari $1,690,000 (RM7 juta mengikut kadar pertukaran mata wang semasa).