McLaren Elva - supercar 804 hp dengan kejuruteraan aerodinamik pintar

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada supercar paling ringan pernah dihasilkan - McLaren Elva di mana namanya diinspirasikan daripada jentera McLaren-Elva M1A yang pernah wujud era 1960-an.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dengan pengenalan McLaren Elva, supercar tanpa bumbung dan cermin hadapan ini merupakan penawaran terbaharu di dalam siri Ultimate Series McLaren selepas model P1, Senna dan juga Speedtail.
 


Walaupun tanpa sebarang komponen asas yang mampu melindungi pemandu dan penumpang, McLaren Elva didatangkan dengan kejuruteraan aerodinamik yang serba bijak, digelar sebagai Active Air Management System (AAMS). 

Sistem AAMS ini menggunakan komponen deflektor karbon mudah alih yang mampu mengalirkan udara berkelajuan tinggi dari hidung Elva ke arah belakang dengan mencipta sebuah 'gelembung aerodinamik' yang 'melindungi' pemandu dan penumpang, seterusnya menjadikan ruang kabin lebih selesa tanpa gangguan aliran udara itu tadi. 

Sistem ini akan diaktifkan saat McLaren Elva memasuki ruang kelajuan yang tinggi, dan sekiranya anda tidak memerlukan sistem ini, ia boleh dimatikan supaya udara itu tadi disalurkan bagi menyejukkan ruangan enjin. 
 


Sebut pasal enjin, McLaren Elva didatangkan dengan nadi bentangan V8 4.0 liter dengan kuasa 804 hp yang jauh lebih tinggi berbanding 720S. 

Dengan berat bersih sekitar 1,198 kg sahaja terima kasih kepada casis gentian karbon, McLaren Elva mampu mencapai kepantasan pecutan 0-100 km/j bawah tiga saat dan 0-200 km/j dalam 6.7 saat sahaja. 

Rekaan tempat duduk dipasang tegap terus kepada casis, dengan peralatan opsyen harness enam poin Ultrafabric untuk mereka yang inginkan sesuatu memegang erat badan ketika melayan litar di hujung minggu. 
 


Segala kawalan terhadap trenkuasa dan pengendalian kenderaan boleh diakses terus menerusi kluster instrumen, manakala sistem skrin sentuh lapan inci di bahagian tengah memaparkan sistem navigasi, paparan kamera undur dan juga ciri kawalan suhu (ya!).

Aspek praktikaliti pula tidak dilupakan apabila McLaren tetap menyediakan ruang simpanan di bahagian belakang yang mampu memuatkan dua buah helmet pada satu-satu masa...

Bolehlah daripada tiada langsung bukan? 

 


Seperti kenderaan Ultimate Series McLaren yang lain, McLaren Elva hanya akan dihasilkan dalam unit terhad, iaitu 399 unit sahaja, dengan harga jualan bermula dari $1,690,000 (RM7 juta mengikut kadar pertukaran mata wang semasa).

Berita Berkenaan

Berita Global
Mumtalakat kini merupakan pemegang besar saham dengan kira-kira 60 peratus kepentingan dan menuju…
Berita Global
  Selain kemewahan dan keselesaan, kereta GT juga membawa maksud pemandu dan penumpang mempunyai…
Berita Global
  Spectrum Theme memerlukan teknik baharu untuk dihasilkan dan dari gambar yang dikongsi boleh…