Usaha Toyota itu menunjukkan enjin pembakaran dalaman masih lagi mempunyai potensi yang tersendiri dan tidak akan hilang dari dunia dalam masa terdekat.
Pembakaran hidrogen di dalam enjin konvensional tidaklah 100 peratus bersih seperti Toyota Mirai, memandangkan sisa yang dilepaskan ke udara masih lagi mempunyai amaun NOx yang sedikit, menurut Toyota.
Jentera prototaip Corolla Sport yang ditunjukkan dalam video di atas menggunakan enjin berkuasa turbo tiga silinder sebaris 1.6 liter (daripada GR Yaris) dan ia bakal berentap di dalam perlumbaan endurance 24 jam Super Taikyu Series.
Dalam video ringkas tersebut, anda boleh mendengar sendiri kualiti bunyi yang dihasilkan oleh enjin yang disuapkan dengan bahan api hidrogen yang cukup garang walaupun ia tidaklah semerdu nadi V8 atau enjin inline-6.
Menurut pelumba Hiroaki Ishiura, "Ia tidaklah berbeza (daripada model enjin pembakaran dalaman) seperti yang dijangkakan. Ia sama seperti enjin normal. (Jika saya tidak diberitahu) saya berkemungkinan menyangka ia sebuah enjin yang normal."
Jentera Corolla Sport ini juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four, berkemungkinan besar segala input dari perlumbaan tersebut akan dicurahkan kepada pembangunan GR Corolla yang bakal didedahkan pada masa akan datang.