Mungkin tidak ramai yang tahu, Toyota juga sebelum ini pernah menawarkan sedan pantas Mark X GRMN, serta Century GRMN yang hanya diproduksikan untuk kegunaan Akio Toyoda.
Ternyata, tema sedan bakal menjadi pilihan divisyen permotoran TGR pada tahun ini dengan ura-ura kehadiran sebuah sedan fastback GR Crown Crossover.
Menurut laporan media Jepun Best Car Web, Toyota sedang membangunkan Crown Crossover dengan trenkuasa hibrid yang jauh lebih bertenaga berbanding penawaran sedia ada.
Menggunakan trenkuasa Hybrid Max 344 hp sebagai asas, jurutera Toyota dilapor meningkatkan kuasa enjin 2.4 liter turbo itu kepada 296 hp (daripada 268 hp).
Dengan gandingan dua motor elektrik, bateri dan kotak gear eCVT, kuasa itu dikatakan mampu mencecah sehingga 375 hp.
Selain daripada peningkatan kuasa, jurutera TGR turut memberikan tumpuan kepada aspek gantungan, penambahan pendakap, naik taraf sistem brek serta menjadikan respons stereng yang lebih hidup.
Toyota GR Crown Crossover ini dilapor akan muncul seawal musim panas 2024, dengan harga anggaran sekitar 7-7.5 juta yen (RM224 ribu-RM240 ribu).
Sumber: Best Car Web