Tujuh golongan yang tidak sesuai guna Mini Electric

oleh HEZERI SAMSURI|
BMW memperkenalkan Mini Cooper SE atau Mini Electric dalam tahun 2019, dan ia adalah sebuah model yang memang dinantikan oleh peminat EV di seluruh dunia.

Menggunakan platform yang sama dengan varian Mini 3 Door F56 berenjin, sistem elektriknya "dicuri" dari BMW i3, tetapi diterbalikkan kerana i3 menggunakan pacuan roda belakang dan Mini pula digerakkan oleh roda hadapan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Ruang ekzos digunakan untuk mengisi bateri 32.6 kWh dan kerana Mini ialah sebuah kenderaan yang bersaiz errr, mini, bateri lithium-ion itu jauh lebih kecil dari BMW i3.

Pengecaj dalaman AC pula berkapasiti 11-kW dan pengecaj DC ialah sehingga 50kW. Ini bermakna ia boleh dicaj dari sifar ke 100 peratus dalam masa dua jam setengah (AC) atau 36 minit (10-80 peratus, pengecaj pantas DC).

Mini Electric ini mempunyai ramai peminat dan varian Resolute dengan tempat duduk fabrik/kulit tiruan bercorak kuning ini memang memukau minat ramai.

Namun begitu, seperti raja buah kita durian, sesedap mana pun, ada segelintir yang memang tidak boleh menggunakan Mini Cooper SE elektrik ini.

Di bawah ialah senarai mereka yang kurang sesuai untuk menggunakannya.

 

 

1. Mereka yang tidak mampu

Mini memang bukan lagi jenama marhaen seperti semasa ia dilancarkan dalam tahun 1959. Selepas ia diambil alih oleh BMW, Mini menjadi jenama premium.

Harga Mini Electric bermula dari serendah RM197,934 (selepas ditolak insentif cukai Malaysia untuk EV) dan untuk varian Resolute, anda perlu menambah lagi RM12,000.

Ini bermakna sekiranya anda meletakkan wang pendahuluan minimum (RM19,916) dan tempoh sewabeli selama sembilan tahun, bayaran bulanan anda ialah RM2,107.


2. Mereka yang tidak suka muzik

Cooper SE Resolute Edition hadir dengan Apple CarPlay (masih menggunakan kabel ya) dan sistem audio dari Harmon Kardon dengan 12 speaker.

Walaupun ia mungkin tidak semerdu yang dimahukan oleh peminat tegar sistem audio (sebenarnya, tidak ada satu pun sistem audio kereta yang bagus untuk kaum ini), ia cukup premium untuk kebanyakan pengguna.

Hantaran trebel, mid dan bass yang cukup baik menjadikan mutu audio lebih seimbang, walaupun anda mendengar suara merdu dari Sanisah Huri ataupun bunyi percussion mantap dari lagu-lagu Rabbani.

 

 

3. Golongan yang tidak mahu glam

Mahu atau tidak, Mini memang akan menarik perhatian ramai dan varian Resolute Edition memang pasti akan menarik pujian ramai.

Dari anak sekecil tujuh tahun, sehinggakan ke ibu tunggal berusia 39 tahun yang bekerja sebagai eksekutif syarikat multinasional, semuanya sukakan corak dalam kabin Resolute Edition.

Ini menjadikan pemandunya tampan dan nampak rupawan, walaupun secara jujurnya, langsung tidak.


4. Mereka yang mahu menjimatkan bil bahanapi

Untuk mereka yang menggunakan alasan mahu menjimatkan penggunaan bahanapi kerana elektrik di Malaysia jauh lebih murah, hentikan.

Anda lebih baik membeli sebuah Perodua Axia AV yang berharga RM50,000 kerana beza harga sebanyak RM150,000 itu membolehkan anda membeli sebanyak 73,171 liter petrol, bersamaan dengan 2,033 tangki Axia, yang membenarkan anda memandu sejauh 1.6 juta kilometer.

Tujuan utama untuk menggunakan EV adalah lebih kepada untuk menyelamatkan bumi ini dari terus dimusnahkan oleh perubahan cuaca yang diakibatkan oleh kadar pengeluaran asap yang tinggi oleh kenderaan.
 

 

5. Mereka yang brek 500 meter sebelum selekoh

Walaupun sistem gantungan EV ini yang jauh lebih selesa dari BMW Mini generasi terdahulu, ia masih kekal sporty. Akhirnya BMW faham bahawa sistem gantungan tidak perlu sekeras hati Roy Gila-Gila Remaja untuk menampilkan pemanduan yang lincah dan agresif.

Pengendalian yang menarik, di samping daya pecutan yang segar dengan tork maksimum yang mudah dicapai, ini ialah Mini yang paling sempurna pernah dipandu oleh penulis (di mana beliau telah mencuba hampir kesemua Mini, termasuk varian ekstrem JCW dan Mini-Mini bikin).

Ia juga bermakna sekiranya anda tidak mampu berdisiplin di atas jalanraya, Mini Electric ini tidak sesuai dengan anda kerana anda pasti akan menjadi nakal.

 

 

6. Mereka yang aktif ke hulu ke hilir

Jarak gerak Mini ialah 270 km (menurut kiraan WLTP) tetapi cuma boleh dicapai sekiranya anda membawa dengan cermat.

Dengan sistem gantungan Mini yang menjadikan ia lincah, dan prestasi dari motor elektrik sekuat 181 hp dan kadar tork pada 270 Nm, sukar untuk anda sentiasa memandu seperti seorang makcik ke pasar.

Untuk kegunaan seharian di mana anda tidak akan melampaui jarak lebih dari 160 km, anda memang sesuai untuk menggunakan Mini Electric.

Tetapi jika anda kaki pecut, sering keluar pagi petang siang dan malam, dan tinggal di Kuala Lumpur tetapi mempunyai rakan-rakan melepak di Shah Alam, Bangi atau kawasan kejiranan di penghujung bandar, anda perlu lebih berhati-hati kerana jarak 150 km mungkin tidak akan mencukupi.

 

 

7. Mereka yang tidak boleh memasang pengecaj dinding

Ini berkait rapat dengan golongan keenam.

Untuk mereka yang tidak dibenarkan memasang pengecaj peribadi, penggunaan Mini Electric ini menjadi kurang praktikal. Namun begitu, seperti peribahasa kita, alah bisa tegal biasa. 

Kalau mahu, kena rajin mencari pengecaj awam. Malah, ia juga boleh dijadikan alasan untuk keluar malam kerana "perlu mengecaj".

Secara serius, pada mulanya anda boleh mencari pengecaj awam tetapi seperti yang terjadi dengan staf-staf muda Careta, akhirnya mereka mengalah kerana jenuh untuk sentiasa mencari pengecaj. 

Semasa BMW menawarkan Mini Electric ini untuk dipandu uji, tidak ada seorang pun dari mereka yang berminat selepas mengetahui jarak geraknya.

Akhirnya, boss mereka yang tampan juga mengambil Mini Electric ini dan mereka semua kerugian, kerana ini ialah Mini yang paling sedap untuk dilenjan.

 

 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Tertuduh, P Kuhan Raj, 31, yang juga peniaga kedai telefon bimbit bagaimanapun mengaku tidak…
Berita Global
  Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Reka Bentuk Kumpulan BMW, Adrian van Hooydonk di Milan, Itali…
Berita Global
  M5 Touring digerakkan enjin 4.4 liter V8 biturbo dengan padanan kotak gear automatik M…