Tugas Jurutera Bendalir Litar PETRONAS - bukan kerja glamor, bukan kerja mudah!

oleh Mohamad Hanif|
Kerjaya yang disandang oleh dua anak muda ini bukanlah satu kerjaya yang glamor seperti pemandu pasukan F1 Mercedes-AMG PETRONAS, Lewis Hamilton dan Valtteri Bottas.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Nama jawatan yang diberikan juga cukup aneh - PETRONAS Trackside Fluid Engineer - atau dalam bahasa Melayunya Jurutera Bendalir Litar.

Namun, hakikatnya tugas yang disandang oleh Stephanie Travers (berasal dari Zimbabwe) dan seorang anak muda Malaysia, En De Liow sememangnya berat dan amat penting sekaligus menyumbang kepada kejayaan yang dikecapi oleh pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 setiap kali perlumbaan berlangsung.

 


En De Liow merupakan pendatang baharu ke dalam pasukan PETRONAS Lubricant International (PLI) bagi tahun 2020 di mana beliau merupakan rakyat Malaysia kedua yang diberikan penghormatan memegang jawatan Jurutera Bendalir Litar selepas Ahmad Nasri Mohd Shafie (2018).

Dalam satu sesi temuramah yang dijalankan dalam talian baru-baru ini, Careta berkesempatan untuk mengemukakan beberapa persoalan berkenaan karier sebagai PETRONAS Trackside Fluid Engineer (PTFE).

Sebagai Jurutera Bendalir Litar, Stephanie dan En De Liow berperanan memberikan sokongan teknikal dan analisis kepada pasukan Formula One Mercedes.

Selain daripada menjalankan analisis kepada bahan api Petronas Primax yang digunakan oleh jentera Mercedes-AMG W11, mereka juga turut menganalisa minyak pelincir Syntium, serta pelincir transmisi Tutela supaya selari dengan regulasi yang ditetapkan oleh FIA.
 


Rutin kerja Stephanie dan En De Liow bermula seawal seminggu sebelum perlumbaan berlangsung di mana mereka perlu memeriksa kandungan sampel yang diperoleh daripada tong dram pelincir mengikut formulasi yang telah disediakan.

Ini bagi memastikan kualiti bahan api serta minyak pelincir yang digunakan adalah konsisten tanpa sebarang kehadiran bendasing dan pencemaran sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas perlumbaan.

Pengujian tersebut bukanlah sekali, malah ia perlu dilakukan beratus kali sebelum sesi perlumbaan dilakukan sebelum jentera W11 tersebut diisi dengan bahan api, pelincir dan bendalir transmisi yang diperlukan.

Malah, mereka juga perlu bersedia bermula dari saat enjin jentera F1 dihidupkan, sebelum dan selepas ujian kelayakan dilakukan bagi menganalisa sampel yang diperoleh - memang kedengaran leceh!

 


Menurut En De Liow, 90 peratus daripada skop kerja mereka merangkumi segala persiapan yang dilakukan bagi memastikan setiap kerja yang dilakukan berjalan dengan lancar, manakala selebihnya tertakluk kepada analisa sampel supaya keputusan dapat diperoleh dalam masa yang ditetapkan.

Tidak dinafikan, jadual musim perlumbaan 2020 yang padat sememangnya memberikan satu cabaran dalam memastikan setiap gerak kerja berjalan lancar, apatah lagi selang masa antara perlumbaan adalah singkat berbanding musim perlumbaan tahun lalu.

Namun, ia bukanlah satu masalah apabila sesebuah pasukan seperti Mercedes-AMG PETRONAS F1 memiliki tahap disiplin dan semangat berpasukan yang cukup tinggi, kerana mereka percaya elemen ini mampu menghasilkan satu keputusan yang positif.

 


Walau sesibuk mana sekalipun menjalankan tugas sebagai seorang Jurutera Bendalir Litar, Stephanie memberikan tips yang beliau amalkan selama ini: pastikan rehat yang cukup, amalkan bersenam bersama rakan-rakan, serta melapangkan minda setiap kali sebelum musim perlumbaan.

Sementara itu, tahun 2020 merupakan tahun pertama En De Liow merasai sendiri pengalaman bekerja dengan pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1, beliau turut bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh Stephanie.

Beliau menambah, "benda ringkas seperti senarai semak perkara yang perlu dilakukan sebenarnya memang banyak membantu agar persiapan yang dilakukan lebih sempurna, ini banyak membantu anda untuk menjadi seorang yang tidak mudah gentar dengan apa jua rintangan atau masalah yang dihadapi.
 

Bagaimana anda berdua kekal tenang bekerja tanpa terjejas dengan tekanan yang dihadapi?

"Sepanjang tempoh perlumbaan, kami sentiasa bersikap tenang dan cool, kerana kebanyakan masa kami dihabiskan di bawah aliran udara dingin (air-cond)," ujar En De Liow berseloroh.

"Paling penting, perlu wujudkan satu sikap saling percaya yang kuat antara satu sama lain, kerana sifat kepercayaan ini bakal melancarkan lagi aliran kerja sepanjang tempoh musim perlumbaan.

"Dikelilingi dengan rakan sepasukan yang sememangnya memiliki semangat dan tahap disiplin yang cukup tinggi, ia memberikan kami satu keyakinan untuk menyelesaikan segala tugas dengan lebih baik dan lancar.

 


Musim perlumbaan Formula One 2020 kini hampir memasuki pusingan kelima di mana pada ketika ini, pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 berjaya mengungguli kategori World Constructors' Championship empat kali berturut-turut.

Kedudukan semasa menyaksikan Lewis Hamilton menduduki tangga teratas dengan 88 mata terkumpul, diikuti oleh Valtteri Bottas (58 mata).

Sudah pasti, kejayaan yang dikecapi oleh pasukan Mercedes-AMG PETRONAS F1 tidak akan bermakna tanpa sokongan daripada individu di sebalik tabir - Jurutera Bendalir Litar!

Careta ucapkan selamat maju jaya kepada Stephanie Trevors dan En De Liow, semoga kisah dua anak muda ini mampu memberikan inspirasi kepada kita untuk mengejar kerjaya yang diimpikan.

Berita Berkenaan

Berita Global
Pada zamannya, F40 merupakan model paling berkuasa yang dihasilkan oleh Ferrari, ia dikuasakan…
Berita Domestik
PETRONAS Lubricants International dengan kerjasama Despark International College telah merangka…
Sukan Bermotor
Ini juga bermakna, Lewis Hamilton merupakan pemandu F1 pertama dalam sejarah yang berjaya meraih…