
HiLux GR Sport bukan lawan kepada Ford Ranger Raptor namun satu permulaan bagus sekiranya Toyota mahu mengeluarkan GR Hilux pada masa depan.
Tambahan pula Toyota sudah pun mempunyai GR Hilux yang digunakan untuk perlumbaan Rali Dakar.
HiLux GR Sport pasaran Australia tampil dengan imej perkasa, enjin lebih berkuasa, trek roda lebih lebar, pakej suspensi baharu dan cakera brek lebih besar.
Pikap ini memanfaatkan pengalaman GAZOO Racing di dalam sukan permotoran dan turut dipengaruhi Hilux yang digunakan di dalam perlumbaan Rali Dakar.

Jurutera dari Toyota Australia dan merupakan pusat kecemerlangan global untuk kenderaan 4WD Toyota telah memainkan peranan penting di dalam program pembangunan projek ini.
Mereka turut bekerjasama dengan rakan sekerja dari Amerika Latin, Thailand dan Jepun.
Menggerakkan HiLux GR Sport ialah enjin 2.8 liter turbo diesel 1GD-FTV (Hi) dengan kuasa ditingkatkan sebanyak sepuluh peratus kepada 221 kuasa kuda (hp) dan tork 550Nm.
Ubah suai telah dibuat pada pengecas turbo dan kawalan pancitan bahan api.

Angka itu lebih tinggi berbanding HiLux Rogue Australia dengan 201 hp dan tork 500Nm.
Enjin HiLux GR Sport dipadan bersama transmisi automatik dengan talaan lebih sporti dan julat penguncian (lock-up) yang dibesarkan.
Pemandu juga boleh menukar gear melalui pedal pada stereng.
Dari segi pengendalian, trek roda depan dilebarkan sebanyak 140 milimeter (mm) kepada 1675 mm dan 155 mm di belakang kepada 1705 mm.

Ukuran trek depan HiLux Rogue 5 mm lebih pendek dan sama untuk kedua-dua pikap pada bahagian belakang.
Selain itu, Toyota turut merekabentuk semula tulang wishbone dan gandar belakang diperkukuhkan untuk melayani pemanduan yang mencabar.
Penyerap hentak tiub tunggal yang digunakan mempunyai daya redaman dan penyingkiran haba lebih tinggi.
Gegelung pegas lebih tegar dan bersama suspensi depan dan belakang yang dioptimumkan memberikan prestasi pengendalian yang berbeza.

Pakej itu turut meningkatkan kestabilan dengan mengurangkan sudut olengan dan respon stereng lebih jitu.
Toyota memaklumkan tetapan baharu ini membolehkan pemandu menikmati kenderaan yang lebih sporti tanpa mengorbankan keselesaan untuk pemanduan harian.
Dari segi gaya, HiLux GR Sport tampil perkasa dengan gril, bampar, plat pelindung bawah dan fender flare lebar.
Sekali lagi, kit itu tidak sama dengan Hilux GR pasaran lain.

Bukan sekadar kosmetik, komponen luar pada badan HiLux GR Sport dibuat di dalam terowong angin untuk kecekapan aerodinamik.
Satu lagi yang menarik, rim HiLux GR Sport berukuran 17 inci dan dipadan bersama tayar semua bentuk muka bumi (AT) berukuran 265/65.
Saiz rim itu sebenarnya satu inci lebih kecil berbanding HiLux Rogue dengan tayar 265/60 R18. Di bawah bampar belakang di pasang cangkuk tunda berwarna merah.

Pada bahagian dalam, Toyota menggunakan tema hitam dan diserikan dengan tali pinggang keledar warna merah.
Sebagai sebuah varian istimewa, logo GR terpampang pada stereng, penyandar kepala, angkup brek merah dan juga pada tab kargo belakang.
Ada yang sudah geram dengan pikap ini? Walapupun diperkenalkan pada awal tahun, HiLux GR Sport dijangka dilancarkan di Australia pada setengah tahun kedua 2023.
Untuk pasaran tempatan, perlu tunggu berita dari pengedar rasmi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin