Toyota Hilux GR SPORT II diperkenal di Eropah, kit badan kembang dan perkasa!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota Hilux GR SPORT II 2024
Toyota Hilux GR SPORT II 2024
Di pasaran dunia sekarang ini ada dua pikap Hilux berprestasi selepas Hilux GR SPORT II diperkenal di Eropah.

Model terbaru itu ditawarkan bersama Hilux GR SPORT yang turut dijual di pasaran tempatan. Kedua-duanya berbeza dari segi kit badan dan pengendalian.

Hilux GR SPORT II sedikit berbeza daripada Hilux GR SPORT yang ditawarkan di Australia dan hadir tanpa aero sports bar dan penutup ruang kargo.

Dari segi kuasa, enjin 1GD-FTV 2.8 liter diesel turbo Hilux GR Sport tempatan menghasilkan 221 kuasa kuda (hp) dan tork 550Nm.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Toyota Hilux GR SPORT II 2024

 

Angka itu baru sahaja dinaikkan pada September lalu yang sebelum ini berkuasa 201 hp dan tork 500Nm dan sama seperti Hilux Rouge.

Seperkara menarik, enjin 2.8 liter Hilux GR SPORT II berkongsi angka Hilux Rouge dan tidak sama dengan Hilux GR SPORT Australia yang lebih berkuasa.

Kesimpulannya begini, kit badan Hilux GR SPORT Australia sama seperti Hilux GR SPORT II yang mempunyai kuasa enjin seperti Hilux Rouge.

Kit badan Hilux GR SPORT tempatan pula berbeza daripada Hilux GR SPORT Australia tetapi kedua-duanya berkongsi kuasa enjin.

 

Toyota Hilux GR SPORT II 2024

 

Walaupun kuasa enjin sama, Hilux GR SPORT Australia dan Hilux GR SPORT II berbeza dari segi teknikal berbanding Hilux GR SPORT tempatan.

Sebagai contoh, lebar trek depan dan belakang masing-masing bertambah 140 milimeter (mm) dan 155 mm berbanding Hilux standard.

Selain itu, sudut depan (approach angle) dinaikkan dari 29 darjah kepada 30 darjah dan jarak kelegaan bumi bertambah 20 mm. 

Penyerap hentak tiub tunggal menggantikan tiub berkembar untuk prestasi redaman lebih baik dan tindak balas lebih pantas di permukaan mencabar.

 

Toyota Hilux GR SPORT II 2024

 

Rim 17 inci baharu yang lebih ringan dipadan bersama tayar pelbagai permukaan (AT) untuk meningkatkan cengkaman dan kestabilan.

Brek juga ditingkatkan dengan saiz cakera bertambah seinci daripada 16 inci dan brek gelendong belakang diganti cakera 15 inci. 

Dari segi penampilan dan aerodinamik, Hilux GR SPORT II menyerlah dengan kit badan kembang dan nampak perkasa.

Perumah lampu kabus memainkan peranan dengan mengoptimumkan kecekapan seretan dan mengurangkan gelora udara di dalam ruang roda.

 

Toyota Hilux GR SPORT II 2024

 

Aliran udara juga ditambah baik dengan penggunaan aero sports bar dan penutup kargo. Kedua-dua perkakasan itu tiada pada Hilux GR SPORT Australia.

Toyota juga memaklumkan rim baharu mengurangkan seretan aerodinamik. Di sebalik rim aloi boleh dilihat angkup brek merah.

Penyerap hentak depan dan pegas gegelung depan berwana hitam dan merah di belakang. Warna hitam turut diguna pada pemijak tepi, penutup cermin sisi dan pembuka pintu.

Pada bahagian dalam, Hilux GR SPORT II sekali lagi menggunakan tema hitam dan merah. Kerusi sport dibalut suede dan kulit hitam dengan sulaman perak.

 

Toyota Hilux GR SPORT II 2024

 

Gabungan itu berlawanan dengan tali pinggang keledar merah. Turut dilengkapi pedal penukar gear dan pedal sport aluminium.

Sistem multimedia Toyota Smart Connect dioperasi bersama skrin sentuh lapan inci dan pengguna boleh menghubungkannya dengan Apple CarPlay® atau Android Auto®.

Dari segi keupayaan, Hilux GR SPORT II dengan kotak gear automatik enam kelajuan boleh menunda beban sehingga 3,500 kilogram (kg) dan membawa muatan 1,000 kg.

 

Toyota Hilux GR SPORT II 2024

 

Jualan di Eropah bermula pada setengah tahun pertama 2024 dan tiba di pengedar pada setengah tahun kedua.

Harga belum diumumkan dan sebagai rujukan, Hilux GR SPORT Australia dijual pada AUD 73,990 (RM223,659).

Selain Australia dan Eropah, menarik sekiranya Hilux GR SPORT dengan kit badan kembang begini dibawa ke pasaran tempatan. Setuju?

Penulis: Muhammad Md Tajudin