Ini adalah berdasarkan imej teaser terbaharu yang diterbitkan oleh Toyota sendiri, serta kehadiran beberapa keping gambar intip unit C-HR facelift yang sedang diuji di Litar Nurburgring seperti yang dipetik daripada laman AutoExpress UK.
Perubahan yang ketara boleh dilihat dari segi rekaan lampu belakang yang kini menampilkan bar LED yang melintang penuh, diikuti dengan logo Toyota C-HR di bahagian tengah yang bercahaya, bukan lagi rekaan lampu sepit ketam pada model sedia ada.
Berdasarkan gambar intip, model SUV tersebut turut membawakan perubahan yang besar pada unit lampu hadapan, dengan membawakan elemen rekaan berbentuk huruf C, diikuti dengan pemegang pintu yang tertanam dalam panel badan.
Ini adalah bertepatan dengan imej janaan komputer yang pernah dihasilkan oleh laman web Jepun Best Car Web yang pernah kami siarkan sebelum ini.
Selain daripada rupa paras baharu, C-HR baharu ini juga akan membawakan penawaran trenkuasa hibrid dan plug-in hybrid sahaja, sama seperti apa yang ditawarkan oleh model Prius.
Toyota C-HR generasi baharu ini akan didedahkan secara rasmi pada 26 Jun ini.
Jadi, adakah C-HR baharu ini akan masuk semula ke dalam pasaran Malaysia?
Sebagai makluman, Toyota C-HR sebelum ini dibawa masuk secara rasmi sebagai unit CBU oleh UMW Toyota Motor (Mac 2018) yang dipadankan dengan nadi 1.8 liter sebelum penjualannya dihentikan pada lewat tahun 2020 disebabkan angka jualan yang semakin menurun.
Kedudukan C-HR kemudian digantikan dengan sebuah model lagi SUV TNGA-C, iaitu Toyota Corolla Cross yang dilancarkan secara rasmi pada Mac 2021, diikuti dengan pengenalan Corolla Cross versi pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2022.
Sumber: AutoExpress UK