Menurut laporan Best Car Web, Toyota C-HR 2024 dijangka akan membawakan penawaran trenkuasa hibrid konvensional serta plug-in hybrid (PHEV), sekaligus mengenepikan versi berenjin pembakaran dalaman (ICE) tulen.
Ini bermakna, C-HR 2024 akan menjadi model TNGA-C berkuasa hibrid sahaja, sama seperti apa yang ditawarkan pada model Prius.
Bergantung pada permintaan pasaran, Toyota C-HR boleh didapati dalam versi hibrid konvensional 1.8 liter atau 2.0 liter, serta versi PHEV 2.0 liter dipadankan dengan sistem pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda E-Four - sama seperti Prius.
Pada model Prius, trenkuasa plug-in hybrid itu mampu menjana kuasa setinggi 223 PS dan ia lebih sesuai dijadikan versi sporti yang lebih mengutamakan prestasi pemanduan.
Antara info menarik yang turut dilontarkan oleh Best Car Web, seperti ukuran dimensi jarak antara roda C-HR bertambah sebanyak lebih 100 mm, menyumbang kepada ruang kaki yang lebih besar, serta rekaan muka hadapan berbentuk jerung kepala tukul seperti yang terdapat pada model Prius.
Toyota C-HR sebelum ini dibawa masuk secara rasmi sebagai unit CBU oleh UMW Toyota Motor (Mac 2018) yang dipadankan dengan nadi 1.8 liter sebelum penjualannya dihentikan pada lewat tahun 2020 disebabkan angka jualan yang semakin menurun.
Kedudukan C-HR kemudian digantikan dengan sebuah model lagi SUV TNGA-C, iaitu Toyota Corolla Cross yang dilancarkan secara rasmi pada Mac 2021, diikuti pengenalan Corolla Cross versi pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 2022.
Sumber: Best Car Web