Toyota C-HR GR Sport kini di Australia, kit JDM harga dari RM113k

oleh Muhammad Md Tajudin|
Toyota C-HR GR Sport Australia
Toyota C-HR GR Sport Australia
Sebelum ini kami pernah paparkan mengenai Toyota C-HR GR Sport untuk pasaran Eropah. Rupa-rupanya ada yang berbeza selepas Toyota memperkenalkan C-HR GR Sport untuk pasaran Australia.

Jika C-HR GR Sport Eropah tampil dengan gayaan ringkas, C-HR GR Sport Australia pula lebih meriah dengan bampar depan versi Jepun.

Untuk makluman GR Sport bukan model naik taraf penuh seperti GR Yaris, ia lebih kepada perbezaan kosmetik ala R-Line untuk Volkswagen dan tanpa ubah suai rangkaian kuasa.

Selain kosmetik, C-HR GR Sport menggunakan komponen pengendalian dan pemanduan berbeza untuk prestasi yang lebih sporti.

Secara asasnya C-HR GR Sport Australia dibangunkan dari C-HR GXL pacuan depan dan digerakkan rangkaian kuasa hibrid.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Toyota C-HR GR Sport Australia

 

Enjin 1.8 liter pada C-HR berkuasa 94PS dan tork 146 Nm yang dipadan bersama motor elektrik dengan output total 122 PS.

Dari segi kosmetik, bahagian depan C-HR GR Sport membawa pengaruh GR Yaris dengan rekaan bersegi, palang tengah tebal, bahagian gril bawah menonjol, posisi baharu lampu kabus dan lip aerodinamik.

Di sini perbezaan nyata dengan C-HR GR Sport Eropah yang tampil ringkas dan tidak komplikated.

Selain itu C-HR GR Sport turut menerima roda aloi 19 inci baharu dengan tayar 225/45, lampu LED depan dan belakang gred tinggi, kemasan hitam piano untuk lip spoiler belakang, cermin sisi dan kemasan pintu.

 

Toyota C-HR GR Sport Australia

 

Bahagian luar yang menyerlah dimeriahkan dengan angkup brek warna putih yang mempunyai logo GR dan emblem GR di depan, tepi dan belakang.

Dari segi pengendalian dan pemanduan, perubahan yang dibuat agak besar.

Daya redaman penyerap hentak, kadar kekenyalan pegas (spring) dan palang penstabilan ditala semula untuk mempertingkatkan kawalan olengan badan dan pitch kereta. 

Pengikat tengah (centre brace) pula meningkatkan ketegaran badan serta menyumbang kepada respon stereng yang lebih terus (direct).

 

Toyota C-HR GR Sport Australia

 

Segala komponen yang diperbaharui tersorok di dalam namun apa yang jelas ialah badan kereta diturunkan sebanyak 15mm kepada 1550mm.

C-HR GR Sport juga 12mm lebih rendah ke jalan dengan kelegaan bumi sebanyak 125mm.

Pada bahagian dalam, C-HR GR Sport dilengkapi kerusi yang memeluk badan dengan balutan kulit hitam, stereng balutan kulit, kemasan perak gelap dan hitam piano serta butang penghidup yang tertera logo GR.

Turut dilengkapi ialah paparan pelbagai maklumat berwarna 4.2 inci, paparan skrin sentuh lapan inci dan enam pembesar suara.

 

Toyota C-HR GR Sport Australia

 

Dari segi keselamatan, sudah menjadi kebiasaan untuk kenderaan Toyota dilengkapi teknologi bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang merangkumi sistem keselamatan pra pelanggaran, pengesanan laluan dan sebagainya.

Berkenaan harga, Toyota C-HR GR Sport dijual di Australia dari $37,665 atau bersamaan RM112,687.

Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit foto: Toyota Australia

 

Toyota C-HR GR Sport Australia