Tiga EV baharu VinFast - VF31, VF32 & VF33, mampu tawarkan pemanduan autonomi Tahap Keempat!

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat automotif Vientam, VinFast memperlihatkan perkembangan yang cukup pantas walaupun ia sebenarnya sebuah syarikat automotif yang baharu ditubuhkan tiga tahun yang lalu.

Baru-baru ini, VinFast telah mendedahkan secara rasmi tiga buah SUV elektrik serba baharu yang bakal menjengah pasaran tersebut bermula pada November tahun ini.

 

VF31


VinFast VF31 merupakan sebuah crossover elektrik di dalam segmen C dengan ukuran dimensi 4,300 mm panjang, dan jarak antara roda sepanjang 2,611 mm.

Model asas VF31 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 114 kuasa kuda dan 190 Nm, sementara versi Premium pula memiliki output  yang lebih tinggi, 201 hp dan 320 Nm.

Pek bateri pula memiliki kapasiti 42 kWh dan mampu membenarkan jarak operasi sejauh 300 km.

Menurut VinFast, antara kelengkapan yang bakal dimuatkan pada crossover ini adalah roda stereng dengan pemanas terbina, tempat duduk berventilasi dengan ciri pemanas, sistem kawalan iklim dengan penapis HEPA, serta skrin infotainmen bersaiz 10 hingga 12.8 inci.

Ciri bantuan pemanduan yang bakal didatangkan termasuklah amaran keluar laluan, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan ciri kamera keliling.

 

VF32


Jika VF31 merupakan crossover segmen C, VF32 pula merupakan crossover segmen D yang lebih besar dengan dimensi 4,750 mm panjang dan jarak antara roda 2,950 mm.

VinFast VF32 bakal menemui peminatnya sekitar Februari 2022, sebelum dipasarkan ke Eropah, US dan Kanada pada Jun tahun yang sama.

Trenkuasa elektrik terdiri daripada pek bateri berkapasiti 90 kWh, serta gandingan motor elektrik tunggal yang menghasilkan 201 hp/320 Nm, sementara model Premium pula akan menerima konfigurasi motor elektrik berkembar menghasilkan 402 hp/640 Nm serta sistem pacuan semua roda.

Jarak operasi pula tidak didedahkan buat masa ini.

 

VF33


VF33 merupakan model crossover yang paling besar antara ketiga-tiga model yang didedahkan oleh VinFast, dengan ukuran dimensi sepanjang 5,120 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,150 mm.

Trenkuasa VF33 pula menampilkan konfigurasi motor elektrik berkembar menghasilkan 402 hp, sistem pacuan semua roda dan pek bateri yang dipertingkatkan kapasitinya kepada 106 kWh.

Difahamkan, VF33 mampu bergerak sejauh 550 km untuk sekali cas penuh.

Antara ciri unik yang didatangkan adalah lampu utama Matrix LED, pemegang pintu tertanam, bumbung kaca panoramik, rekaan tiang C yang tersendiri serta skrin infotainmen bersaiz 15.4 inci.

Model VF32 dan VF33 dikatakan akan hadir dengan ciri bantuan pemanduan semi-autonomi Tahap Kedua dan Tahap Ketiga, sementara versi opsyen penuh akan menawarkan ciri bantuan pemanduan Tahap Keempat yang turut merangkumi ciri summon dan fungsi parkir automatik.

Untuk itu, VinFast akan melengkapkan crossover tersebut dengan 14 unit kamera, 19 penderia 360° dan bilangan penderia LiDar yang tidak disebutkan.


Butiran lanjut berkenaan spesifikasi penuh crossover tersebut akan diketahui dengan lebih mendalam menjelang pelancaran rasminya November nanti.

Berita Berkenaan

Berita Global
Electrify America kini mengendalikan kira-kira 3,500 unit pengecas 150 kW dan 350 kW di 800 buah…
Berita Global
Menurut Nikkei, kerugian tersebut disumbangkan oleh prestasi jualan kenderaan konvensional di…
Berita Global
Model SUV yang dimaksudkan itu merangkumi SUV elektrik dari segmen A (VF5), segmen B (VF6), segmen…