
Komitmen tersebut disertakan pelaburan puluhan juta euro di dalam reka bentuk serta penyelidikan dan pembangunan di Eropah.
Nissan sedang melabur dengan jumlah lebih 40 juta euro (RM198.6 juta) di kedua-dua Pusat Reka Bentuk Nissan Eropah (NDE) dan Pusat Teknikal Nissan Eropah (NTCE).
Di NDE, pelaburan melibatkan naik taraf kemudahan bangunan, peralatan reka bentuk, sumber dan kakitangan tambahan.

Pelaburan di NTCE merangkumi teknologi dan kemudahan baharu dengan lebih 26 juta euro (RM129.1juta) sahaja dibelanjakan untuk projek elektrifkasi.
Di bawah Nissan Ambition 2030, Nissan mahu memperkenalkan 27 kenderaan elektrifikasi termasuk 19 EV di peringkat dunia menjelang 2030.
Nissan juga mahu memperkenalkan teknologi bebas kobalt bagi menurunkan kos bateri EV sehingga 65 peratus menjelang tahun fiskal 2028.

Satu lagi perancangan ialah memperkenalkan EV dengan bateri keadaan pepejal (ASSB) dalam tempoh yang sama.
Dengan pencapaian dalam teknologi ASSB, Nissan dapat mengembangkan penawaran EV dalam pelbagai segmen.
Faedah ASSB dapat dilihat pada pengurangan masa pengecasan kepada satu pertiga dan menjadikan EV lebih cekap dan mampu milik.

Nissan menjangkakan ASSB dapat menurunkan kos pek bateri kepada AS$75 (RM351) per kilowatt-jam (kWj) menjelang tahun fiskal 2028.
Lebih menarik kos itu mahu diturunkan lagi kepada AS$65 (RM304) dan mengurangkan jurang di antara EV dan kenderaan petrol pada masa depan.
Tidak bercakap kosong, dua EV baharu telah disahkan untuk Eropah termasuk EV kompak yang akan menggantikan Micra sebagai model aras permulaan Nissan.

Sebuah lagi model akan dipasang di kilang Nissan Sunderland dan sebahagian daripada projek EV36Zero berjumlah lebih 1 bilion pound (RM5.7 bilion).
Dari segi pencapaian, satu pertiga daripada lebih sejuta unit EV Nissan yang terjual di serata dunia dibeli pelanggan di Eropah.
Nissan Ariya dan Townstar merupakan tawaran terbaru untuk pelanggan di sana.

Sejak 2022, kesemua model Nissan yang ditawarkan di Eropah mempunyai teknologi elektrifikasi termasuk e-POWER untuk Qashqai dan X-Trail.
Ditala oleh NTCE untuk pelanggan Eropah, e-POWER memberikan pemanduan lancar ala EV buat mereka yang belum bersedia untuk beralih sepenuhnya.
e-POWER berfungsi dengan enjin petrol membekalkan tenaga kepada bateri dan motor elektrik bagi memacu roda.

Program elektrifikasi sedang berkembang pantas di Eropah. Daripada 2018 hingga 2022, jualan EV dan kenderaan elektrifikasi melonjak kepada 44 peratus daripada 5 peratus.
Jualan EV pula meningkat dari 1 peratus kepada 12 peratus daripada keseluruhan pasaran di dalam tempoh sama.
Pada hari ini, jualan EV Nissan di Eropah mewakili 16 peratus daripada 50 peratus kenderaan elektrifikasi syarikat dan dijangka melonjak kepada 98 peratus dalam tiga tahun akan datang.
Penulis: Muhammad Md Tajudin / Kredit foto: Nissan
