Syarikat laksana HSR bebas tentukan jajaran, jumlah stesen

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Laporan dari Berita Harian menyatakan bahawa syarikat yang terbabit dalam Permintaan Maklumat (RFI) bagi pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bebas untuk mengemukakan jajaran dan jumlah stesen, asalkan laluan bermula dan berakhir dari Kuala Lumpur ke Singapura, demikian menurut penganalisis.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi reka bentuk pula, HSR Kuala Lumpur ke Singapura perlu mempunyai kelajuan 350 kilometer sejam atau mana-mana kelajuan yang memenuhi definisi HSR seperti yang dipandu oleh International Union of Railways (UIC), yang mana berdasarkan laman web UIC, ia menganggap kelajuan komersial 250 kilometer sejam sebagai kriteria utama.

Struktur konsesi projek itu pula akan berdasarkan model Reka Bentuk-Kewangan-Bina-Kendali-Pindah (DFBOT).

MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) juga menetapkan tiga kriteria pemilihan minimum untuk peserta RFI bagi memastikan peserta mempunyai pengalaman dalam pembinaan berterusan atau siap bagi mana-mana projek kereta api atau mana-mana projek infrastruktur seperti lebuh raya; reka bentuk dan pemasangan sistem rel projek HSR yang berterusan atau siap dan pengendalian projek HSR atau mana-mana projek kereta api.

Penganalisis MIDF Research, Royce Tan Seng Hooi, berkata seperti diumumkan kerajaan sebelum ini, projek rel mega itu akan dijalankan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI), dengan projek dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta tanpa sebarang jaminan atau pembiayaan kerajaan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, peserta RFI boleh mencadangkan dan mewajarkan keperluan untuk sebarang sokongan kewangan yang mereka perlukan daripada kerajaan atau mana-mana mekanisme perkongsian risiko.

Katanya, cadangan menghidupkan semula projek mega itu telah menarik minat banyak firma, dengan lebih 700 pemain tempatan dan asing menghadiri taklimat RFI yang diadakan di auditorium Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam.

"Kebanyakan firma pembinaan terkemuka Malaysia dan konglomerat mempunyai wakil yang hadir tetapi tumpuan pastinya tertumpu pada firma pembinaan dan rel China, dengan wakil daripada sekurang-kurangnya 20 syarikat.

"Kami menjangkakan tempoh masa yang paling awal untuk menentukan kepastian bahawa projek itu dapat dijalankan mungkin pada separuh kedua 2024 sebelum tender dipanggil, jika ada," katanya dalam nota penyelidikannya.

Penganalisis RHB Research, Adam Mohamed Rahim, berkata pihaknya positif dengan langkah kerajaan untuk membuka RFI kepada kumpulan kontraktor yang lebih luas.

Beliau berkata, syarikat pilihan utama pihaknya yang dijangka mengambil bahagian dalam RFI HSR KL-Singapura itu termasuk Gamuda dan Sunway Construction.

MyHSR Corp dalam kenyataannya berkata, taklimat bagi proses RFI projek HSR KL-Singapura menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada lebih 700 pemain-pemain industri tempatan dan antarabangsa, termasuk perwakilan kedutaan asing.

Ia berkata, taklimat itu memberikan gambaran keseluruhan mengenai proses RFI, termasuk garis masa bagi firma-firma dan konsortium tempatan dan antarabangsa untuk mengemukakan cadangan konsep bagi projek itu berdasarkan model perkongsian awam-swasta.

Katanya, peringkat cadangan konsep itu akan bermula dengan edaran Dokumen RFI dari 11 Ogos sehingga penyerahan cadangan konsep pada 15 November 2023.

Sebelum ini, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk membina projek berkenaan membabitkan nilai RM110 bilion sepanjang 350 kilometer yang dijangka memendekkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar raya kepada 90 minit.

Namun, pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan bersama penamatan projek HSR apabila kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan bagi perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Pada Mac 2021, Malaysia mengumumkan ia membayar S$102.8 juta kepada Singapura selaku kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan pelanjutan penangguhannya.

 

Berita Harian

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Projek itu (HSR) boleh dibiayai melalui inisiatif kewangan swasta di mana kerajaan membayar…
Berita Global
Antara stesen yang belum disiapkan ialah Stesen Padalarang (65 peratus) disebabkan kerja-kerja…
Berita Domestik
Menurut Berita Harian, dalam satu kenyataan, Berjaya Land berkata ia akan terbabit dalam proses…