Projek kereta api Jakarta-Bandung alami kelewatan pembinaan, stesen sukar diakses umum

oleh Mohamad Hanif|
Projek kereta api laju Indonesia dijangka berdepan kelewatan pembinaan, disamping isu kebolehcapaian sesetengah stesen yang dibina sebelum pelancaran rasmi bulan hadapan.

Antara stesen yang belum disiapkan ialah Stesen Padalarang (65 peratus) disebabkan kerja-kerja pembinaan lewat dimulakan berbanding tiga stesen lain yang sudah hampir selesai.

Selain daripada itu, terdapat lokasi stesen yang sukar diakses oleh pengguna.

Berdasarkan laporan Channel News Asia, tiga stesen lain di wilayah Jawa Barat sukar diakses oleh pengguna, seperti yang ditekankan oleh penganalisis pengangkutan Darmaningtyas.

"Stesen Karawang misalnya, terletak kira-kira 30 minit daripada susur keluar lebuh raya yang tidak dihubungkan dengan pengangkutan awam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jalan Raya dan Rel Persatuan Pengangkutan Indonesia, Deddy Herlambang menjelaskan kereta api tersebut masih belum diperakui walaupun ia sudah diuji.

Ujarnya, buat masa ini tiada unit di kementerian pengangkutan yang menjaga pensijilan kereta api laju memandangkan ia masih baharu.

“Jadi mereka mengupah perunding bebas untuk mengusahakan pensijilan kerana kami juga tidak mempunyai peraturan mengenai kereta api laju. Oleh itu, mereka akan menggunakan standard antarabangsa,” katanya.

Kereta api berkelajuan tinggi pertama di Indonesia dan Asia Tenggara itu merupakan sebahagian daripada projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dari China dan dijadual dilancarkan  bulan depan bersempena Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos.

Ia menghubungkan Jakarta dengan Bandung dengan jarak sejauh 142 km, di mana perjalanan hanya mengambil masa 40 minit melalui empat stesen (Halim, Karawang, Padalarang dan Tegalluar).

Sumber: Utusan Malaysia

Berita Berkenaan

Berita Global
  "Ini adalah langkah penting dan simbol yang kuat dalam dasar pengurangan pelepasan gas rumah…
Berita Domestik
Menurut Berita Harian, dalam satu kenyataan, Berjaya Land berkata ia akan terbabit dalam proses…
Berita Global
  Poipet ialah bandar sibuk yang berkongsi sempadan dengan Thailand, lapor Xinhua.   "Laporan…