Berjaya Rail berminat bangunkan projek HSR KL-Singapura

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Berjaya Land menubuhkan unit perniagaan rel, Berjaya Rail Sdn Bhd dalam usahanya untuk menceburi segmen kereta api dengan tumpuan terarah kepada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).


Berjaya Land adalah anak syarikat Berjaya Corporation Bhd, konglomerat yang dikuasai oleh bilionair, Tan Sri Vincent Tan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Berita Harian, dalam satu kenyataan, Berjaya Land berkata ia akan terbabit dalam proses permintaan maklumat yang dilaksanakan oleh MyHSR Corp Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

"Berjaya Rail akan menjalankan perniagaan yang membabitkan pembinaan kereta api dan kereta api bawah tanah, reka bentuk, pembekalan dan pemasangan sistem kereta api, pembangunan hartanah berorientasikan transit (TOD), perkhidmatan perundingan dan latihan untuk penyelesaian teknikal yang berkaitan," katanya.

Bagi tujuan itu juga, Berjaya Rail dalam kenyataan itu mengumumkan pelantikan Farizul Baharom sebagai Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).

Berjaya Land berkata, Farizul mempunyai pengalaman yang pelbagai termasuk pernah menjadi Penasihat Khas kepada Menteri Pengangkutan, Ketua Pejabat Pengurusan Projek untuk LRT3 di Prasarana Malaysia Bhd, Ketua Undang-undang & Ketua Rel Rentas Sempadan bagi HSR dan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura (RTS) di bawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Sebagai tambahan, Farizul akan disertai oleh lembaga pengarah yang berpengalaman terdiri daripada mereka yang berpengalaman dalam kejuruteraan, kewangan dan perbankan, pembangunan hartanah serta perundingan dua hala rentas sempadan untuk pengangkutan infrastruktur dan perkhidmatan," katanya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini menyatakan pihaknya sedang meneliti kertas cadangan projek pelaksanaan semula HSR Kuala Lumpur-Singapura, membabitkan pelaburan swasta.

Beliau berkata, beberapa syarikat swasta menyatakan minat melaksanakan semula projek HSR dengan kementerian kini masih di peringkat maklum balas berikutan ada beberapa syarikat swasta tampil menyatakan minat melaksanakan projek mega itu.

Namun, katanya kementerian akan meneliti terlebih dahulu model pelaksanaan dan pembiayaan yang mahu diguna pakai syarikat swasta berminat dalam membangunkan HSR.

Pada 8 Mac lalu, Loke dilaporkan berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan diputuskan kerajaan mengenai pembangunan HSR KL-Singapura selepas perjanjian projek berkenaan dengan Singapura disahkan berakhir pada 31 Disember 2021, menyaksikan projek berkenaan terbatal.

Malaysia dan Singapura mula menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek itu pada 13 Disember 2016 tetapi menamatkan projek itu selepas mengalami beberapa kelewatan.

Projek yang sepatutnya membabitkan pembangunan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura kepada hanya 90 minit.