Subaru XV - kenapa anda perlu pandu pemenang Entry Level SUV of The Year 2018 ini?

oleh Mohamad Hanif|
Penulis masih ingat lagi saat kali pertama diberikan peluang untuk menguji Subaru XV generasi pertama beberapa tahun lalu ketika bertugas di selatan tanah air.

Daripada pemanduan yang serba ringkas tersebut, Subaru XV tersebut sebenarnya telah meninggalkan kesan yang amat mendalam di dalam jiwa penulis yang masih baharu mengenali segmen crossover (pada ketika itu). 

Sebagaimana yang kita maklum, crossover bermaksud gabungan ciri sesebuah SUV ke dalam kenderaan penumpang, dan seperti mana kita lihat, Subaru XV menggunakan asas sebuah Impreza hatchback sebelum diberikan rupa yang lebih ke arah off-road. 
 


Jadi, apabila model tersebut digandingkan dengan ciri pemanduan Subaru - enjin boxer, pacuan semua roda, sistem suspensi ala jentera rali - ia memberikan pengendalian yang amat menyeronokkan walaupun pada asalnya ia sebuah crossover sahaja. 

Awal tahun lalu, penulis kami Hezeri Samsuri telah memandu uji Subaru XV 2018 dan apa yang beliau boleh rumuskan - Subaru XV ini sebenarnya lebih praktikal dan lebih baik berbanding generasi terdahulu. 

Kali ini, penulis sendiri tidak mahu melepaskan peluang apabila Subaru Malaysia menawarkan unit Subaru XV memandangkan terdapat tugasan yang perlu diselesaikan merentasi laluan jalan raya Malaysia yang serba cemerlang ini. 

Ikuti laporan penuh kami sepanjang seminggu memandu Subaru XV ini. 
 


Dari segi luaran, Subaru XV masih memakai resepi yang sama seperti sebuah crossover sejati - badan hatchback, cladding hitam pada fender untuk imej yang lebih ranggi dan lebih tinggi. 

Jika anda perasan, kebanyakan crossover mempunyai jarak kelegaan tanah sebenarnya lebih tinggi untuk memudahkan pengendalian terutama ketika memasuki kawasan kampung yang penuh berlopak.
 


Begitu juga dengan Subaru XV, apabila jarak tersebut masih dikekalkan daripada generasi terdahulu sebanyak 220 mm, namun usah risau walaupun kelihatan agak tinggi, ia tidak mengorbankan langsung perasaan pemanduan yang menyeronokkan. 

Terima kasih kepada penggunaan enjin boxer 2.0 liter aspirasi natural yang memberikan titik graviti yang lebih rendah berbanding enjin empat silinder sebaris konvensional, sekaligus memberikan rasa pemanduan yang lebih meyakinkan terutama di selekoh. 
 


Atas kertas, enjin flat-four bersesaran 1,995 cc itu mampu memberikan kuasa sekitar 154 hp dan daya kilas 196 Nm pada putaran enjin 4,000 rpm, sebelum kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi CVT Lineartronic tujuh nisbah kelajuan.

Dari segi pemanduan biasa, ia bukanlah pilihan anda yang gemar memecut daripada pegun sekiranya sebuah Perodua Myvi kuning berada disisi, namun ketika pemanduan lebuhraya, anda bakal melupakan Myvi tersebut di belakang setelah momentum yang dikehendaki tercapai. 

Malah, ketika di susur keluar selekoh-selekoh lebuhraya, anda sebenarnya akan melupakan hakikat sebenar ia sebuah crossover memandangkan pengendaliannya seakan sebuah kereta berprestasi tinggi - melekat ibarat tayar digam sepanjang pemanduan di selekoh tersebut.
 


Keseronokan pemanduan diteruskan lagi di kawasan perkampungan luar bandar yang berlopak sana-sini ibarat cawangan bulan di bumi. 

Di sini, kami memberikan markah penuh kepada keupayaan sebenar sistem gantungan Subaru XV - lulus cemerlang untuk sebuah kereta kegunaan harian! 

Sistem suspensi MacPherson Strut di hadapan dan Double Wishbone di bahagian belakang yang hadir pada Subaru XV ini bertindak cemerlang menyerap segala bentuk lopak dan alunan yang tidak rata - jauh lebih baik berbanding crossover urban yang ada di pasaran!
 


Malah apabila penulis tidak sengaja terlanggar bonggolan yang lebih besar, Subaru XV ini menerima seadanya dan ketika fasa mendarat, ia bertindak seakan sebuah kereta rali yang tenang tanpa menyebabkan hentakan yang kasar sehingga menyebabkan keselesaan terganggu.

Harapnya para pemilik Wira jungkit tidak terguris hati bila mendengar apa yang penulis rasakan ini.

Hal ini turut dibantu dengan kadar ketegaran kerangka 70% lebih tegap, kemampuan sistem pacuan Symmetrical AWD dan pembahagian berat 50:50, kesemua ini menjadikannya sebuah kereta yang cekap dan mudah untuk dikawal. 
 


Tidak dilupakan, mod off-road Subaru X-Mode ini sebenarnya banyak membantu memberikan kadar cengkaman yang diperlukan dengan mengawal respons pendikit dan brek, serta ciri Hill Descent Control membolehkan anda menumpukan perhatian kepada kawalan stereng ketika menuruni bukit yang curam.

Anda sebenarnya tidak perlu risau untuk menjadikan Subaru XV ini sebagai kenderaan seharian, ini kerana penggunaan rangka serba baharu daripada Subaru Global Platform ini menjanjikan ruang kabin yang lebih luas - terima kasih kepada jarak wheelbase 30 mm lebih panjang.
 


Malah, ruang meletak barang juga kini menerima kapasiti yang lebih berbanding model terdahulu, cukup besar untuk memuatkan barangan anda ketika mahu pulang ke kampung halaman. 

Rekaan dalaman pula kini lebih menarik dengan adanya sistem hiburan skrin sentuh bersaiz 8 inci, skrin info kecil di bahagian atas, enam buah speaker untuk halwa telinga yang mengasyikkan, ciri pendingin hawa dua zon, serta tempat duduk berkuasa elektrik.  


Untuk penggunaan bahan api pula, secara puratanya penulis berjaya memperoleh bacaan 7.8 liter/100 km hasil pemanduan di dalam bandar dan di lebuhraya, menghampiri angka 7.3 liter/100 km seperti yang didakwa oleh Subaru menerusi kitaran NEDC.

Angka yang tidak mengecewakan, bukan?

Ujian kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) pada Subaru XV ini juga menunjukkan kadar kesenyapan yang lebih jika dibandingkan dengan model terdahulu, malah pada kelajuan halal lebuhraya, anda tidak akan perasan pun kenderaan sudah melepasi angka tersebut. 
 


Untuk Subaru XV varian 2.0i-P yang berharga RM118,788, ia cukup lengkap dengan penawaran tujuh beg udara (varian 2.0i juga!), ABS, EBD, ESC, Brake Assist serta cagak ISOFIX yang dikhaskan untuk kerusi kanak-kanak. 

Malah, pada harga kurang daripada RM120 ribu, ciri yang ada pada kereta mewah seperti Steering Responsive Headlamp juga boleh didapati pada Subaru XV. 

Berpatutan dengan harga, pakej keselamatan, pengendalian yang meyakinkan daripada Subaru, keselesaan dan praktikaliti yang ditawarkan untuk kegunaan harian, tidak menghairankan apabila Subaru XV layak dipilih memenangi anugerah Entry Level SUV of The Year 2018 baru-baru ini!
 


Sebagai penutup, tidak keterlaluan rasanya untuk kami katakan, Subaru XV ini sebenarnya adalah sebuah kereta rali yang direka untuk kegunaan harian. 

Cuba pandu sendiri Subaru XV ini dan anda akan faham kenapa penulis katakan sedemikian. 

 

Spesifikasi ringkas Subaru XV 2.0i-P


Enjin: boxer flat four, aspirasi natural, suntikan terus
Sesaran: 1,995 cc
Kuasa: 154 hp/196 Nm
Transmisi: CVT Lineartronic, tujuh nisbah kelajuan
Sistem pacuan: semua roda, Symmetrical AWD
Jarak kelegaan tanah: 220 mm
Ruang kargo: 345 liter
Ciri keselamatan: 7 beg udara, ABS, EBD, Brake Assist, Hill Start Assist, Hill Descent Control, VDC, cagak ISOFIX
Harga: RM118,788 atas jalan tanpa insurans

Saksikan review video kami berkenaan Subaru XV yang telah dibuat awal tahun lalu. 
 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Motor Image, pengedar dan pemasang kenderaan jenama Subaru di Malaysia telah melancarkan varian…
Berita Domestik
Bulan lalu, Subaru Malaysia telah menganjurkan program  'Subaru Off-road Experiential Drive'…
Berita Global
Subaru Crosstrek PHEV ini didatangkan dengan sistem pacuan kuasa serba baharu StarDrive yang…