Selepas Outback dan Forester, kini tiba giliran Subaru Crosstrek (sebelum ini dikenali sebagai XV) untuk menerima trim Wilderness di pasaran Amerika Syarikat.

Sama seperti adik-beradik Wilderness yang lain, Subaru Crosstrek Wilderness mendapat kelengkapan seperti komponen suspensi yang unik, penambahan cladding untuk perlindungan ekstra, diikuti dengan pemasangan tayar all-terrain Yokohama Geolandar untuk lebih cengkaman di dalam laluan yang sukar.
Selain daripada bampar depan dan belakang yang baharu, Crosstrek Wilderness ini turut mendapat lampu kabus berbentuk heksagon, kemasan decal hud yang mampu mengurangkan kesan silau, logo Wilderness, diikuti dengan rak bumbung yang mempunyai had muatan statik seberat 318 kg.

Disebabkan penggunaan suspensi baharu, Crosstrek Wilderness mempunyai jarak lega bumi setinggi 240 mm, selain menyumbang kepada sudut pendekatan, pelepasan dan breakover yang jauh lebih baik.
Generasi baharu Subaru Crosstrek ini dibekalkan standard dengan enjin boxer 2.5 liter dengan hamburan kuasa 182 hp dan 239 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.

Berbanding Crosstrek biasa, Crosstrek Wilderness mempunyai nisbah pacuan akhir yang lebih pendek (4.111:1) bertujuan untuk menambah baik keupayaan bergerak di laluan yang sukar.
Penambahan sistem penyejukan minyak membolehkan keupayaan menunda Crosstrek ini ditingkatkan kepada 1,588 kg.
Sistem X-Mode adalah standard, diikuti dengan ciri seperti bantuan menurun cerun, bantuan pemandu EyeSight, kawalan jelajah adaptif, amaran lintasan trafik belakang serta sistem pemantauan titik buta.

Ruang kabin Crosstrek Wilderness ini dihiasi dengan upholsteri StarTex yang kalis air, diikuti dengan alas lantai dan dulang kargo kalis air, serta logo Wilderness yang terdapat pada perehat kepala.
Secara standard, SUV 'off-road' ini turut mendapat ciri moden termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, ciri pemanas tempat duduk, serta sistem pencahayaan lampu LED.

Di pasaran Amerika Syarikat, Subaru Crosstrek Wilderness dijual pada harga bermula dari $33,290 (RM146,626), sementara pakej opsyen bernilai $2,270 (RM9,998) membolehkan pembeli mendapatkan pakej bumbung suria, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dan sistem audio Harman Kardon dengan 10 pembesar suara.