Subaru lancar Crosstrek plug-in hibrid 2019, mod elektrik mampu capai 27 km!

oleh Mohamad Hanif|
Menjelang acara Los Angeles Auto Show, Subaru telah memperkenalkan varian terbaharu plug-in hibrid kepada barisan crossover Crosstrek (atau XV untuk sesetengah pasaran) sedia ada.


Subaru Crosstrek PHEV ini didatangkan dengan sistem pacuan kuasa serba baharu StarDrive yang terdiri daripada enjin boxer 2.0 liter, motor elektrik berkembar, sistem pacuan semua roda simetrik serta gandingan transmisi CVT. 

 

Salah satu daripada komponen motor elektrik berkembar tersebut boleh berfungsi sebagai pemula operasi enjin dan generator yang membekalkan arus elektrik kepada pek bateri berkuasa 8.8 kWh lithium-ion. 
 


Manakala sebuah lagi motor elektrik digunakan untuk menggerakkan crossover ini selain mengecas kembali pek bateri menerusi ciri brek regeneratif. 

Sistem pacuan kuasa StarDrive pada Crosstrek PHEV ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 148 kuasa kuda dengan pecutan 0-100 km/j lebih pantas sesaat berbanding model Crosstrek standard. 
 


Menariknya, Crosstrek PHEV ini mampu beroperasi sejauh 27 km dengan menggunakan kuasa elektrik sahaja dan jarak operasi sejauh 772 km apabila kedua-dua kuasa elektrik dan petrol digandingkan!
 


Dari segi rekaan luaran, Subaru mendatangkan kemasan minima terhadap beberapa tempat seperti lampu cincin projektor berwarna biru, trim perak, rim aloi bersaiz 18 inci serta warna khas Lagoon Blue Pearl. 

Untuk kemasan kabin, Subaru Crosstrek PHEV hadir dengan rekaan dua tona pada balutan kulit tempat duduk dengan jahitan berwarna biru. 
 


Sistem bantuan pemanduan EyeSight, sistem pemantauan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang didatangkan sebagai ciri standard, dengan harga jualan bermula dari $34,995 (RM147k mengikut pertukaran matawang semasa).

Model PHEV ini dijangka bakal memasuki pasaran pada tahun 2019. 


 

Add new comment

Careta Ad