X-SPR Pro ini bertujuan untuk menggantikan model helmet X-Spirit III dengan membawakan salah satu kunci penting - memaksimumkan kestabilan aerodinamik ketika tunggangan kelajuan tinggi.
Ini kerana helmet baharu ini bukan sahaja menampilkan komponen seperti penstabil belakang dan juga kepak penstabil, ia juga turut mempunyai sehingga tujuh liang ventilasi udara yang boleh dibuka atau ditutup bergantung kepada keperluan, termasuk sistem ventilasi di sekitar kawasan pipi.
Selain mematuhi homologasi baharu ECM 22.06 FIM, antara ciri keselamatan yang dimuatkan pada helmet ini termasuklah kerangka pelindung AIM+, sistem pelapik EPS modular, visor Pinlock CWR-F2R anti-kabus, pengikat Double D-Ring, dan Emergency Quick Release System (EQRS).
Buat masa ini, helmet Shoei X-SPR Pro ini hanya boleh didapati di pasaran Eropah dengan harga jualan dari £699.99 (RM3,739).
Namun begitu, buat para peminat yang tidak sabar menantikan kehadiran helmet ini di Malaysia, usah risau.
Ini kerana pihak pengimport dan pengedar rasmi helmet Shoei di Malaysia, Sinar Puncak Sdn Bhd mengesahkan pihak mereka hanya akan melancarkan model helmet tersebut setelah ia diluluskan untuk proses import, pengedaran dan penjualannya di sini.
Sinar Puncak turut menasihatkan para pelanggan untuk tidak membeli helmet ini menerusi saluran yang tidak sah.