Ini adalah berdasarkan video trailer keempat yang baharu sahaja disiarkan di saluran rasmi Youtube Anime TV "MF Ghost".
Selain daripada memperkenalkan barisan pelakon suara yang bakal membintangi animasi berkenaan, trailer itu juga turut mendendangkan lagu pembukaan terbaharu "Jungle Fire ft MOTSU" yang dinyanyikan oleh Yu Serizawa yang turut menjadi pelakon suara di dalam animasi tersebut.
MF Ghost merupakan siri kesinambungan yang mengambil tempat kira-kira 15 tahun selepas siri Initial D tamat.

Pada ketika itu, dunia telah pun dikuasai oleh kenderaan elektrik manakala kenderaan berenjin pembakaran dalaman telah lama dihentikan pengeluarannya.
MF Ghost mengisahkan watak utama, Kanata Livington (dilakonkan oleh Yuma Uchida) berhijrah ke Jepun demi mencari bapa kandungnya yang hilang.

Untuk itu, beliau sanggup menyertai acara perlumbaan tertutup MFG dengan menggunakan sebuah Toyota GT86 dan perlu bersaing dengan pelumba-pelumba lain yang rata-ratanya menggunakan jentera berkuasa tinggi.
Kanata juga sebenarnya merupakan anak didik kepada Takumi Fujiwara yang merupakan watak utama di dalam Initial D yang kini mengajar di Royal Donington Park Racing School.

Bukan itu sahaja, siri perlumbaan MF Ghost itu sebenarnya diasaskan sendiri oleh watak Ryosuke Takahashi (juga dari Initial D) yang menampilkan barisan kereta-kereta berkuasa tinggi yang masih mengekalkan enjin pembakaran dalaman.
Anime MF Ghost akan mula ditayangkan pada Oktober 2023 di beberapa saluran televisyen Jepun.