Kini dua lagi model iaitu Panamera 4 E-Hybrid dan Panamera 4S E-Hybrid diperkenalkan, sekaligus melengkapkan rangkaian Panamera generasi ketiga
Seperti model asasnya, kedua-dua model tersebut turut menerima nadi V6 2.9 liter turbo yang dipertingkatkan, dipadankan dengan sistem hibrid.
Namun tidak seperti model asas, nadi V6 pada Panamera 4 E-Hybrid hanya menghasilkan 300 HP, tetapi bantuan sistem hibrid meningkatkan kuasa sehingga 463 HP dan 649 Nm, dengan masa pecutan 0-100 kmj sepantas 3.9 saat.
Sementara nadi V6 pada Panamera 4S E-Hybrid pula menghasilkan 348 HP seperti model asas, namun meningkat sehingga 536 HP dan 753 Nm dengan bantuan sistem hibrid. Masa pecutan 0-100 kmj pula sepantas 3.5 saat.
Motor elektrik yang terletak di dalam transmisi pada kedua-dua model itu dikuasakan dengan kapasiti pek bateri yang sama, iaitu 21.8 kWj.
Ia turut dilengkapi dengan pengecas AC 11 kW yang boleh mengecas bateri dalam masa dua setengah jam.
Secara standard, kedua-dua model itu turut dilengkapi sistem gantungan udara “two-chamber, two valve” dengan Porsche Active Suspension Management (PASM), yang turut ditawarkan pilihan tambahan sistem suspensi Porsche Active Ride.
Membezakan lagi kedua-dua model tersebut, Panamera 4 E-Hybrid didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci bersama angkup brek berwarna hitam.
Manakala Panamera 4S E-Hybrid hadir dengan rim bersaiz 20 inci bersama angkup brek berwarna merah serta pilihan warna hijau asid dan hitam.
Ia juga boleh dilengkapi dengan cakera brek seramik karbon Porsche jika pelanggan memilih untuk mendapatkan pilihan tambahan rim bersaiz 21 inci.
Di Eropah, harga jualan bagi Porsche Panamera 4 E-Hybrid bermula dari €108,694 (RM563,811), manakala Porsche Panamera 4S E-Hybrid bermula dari €119,154.05 (RM618,066).
Baca: Generasi ketiga Porsche Panamera 2024 debut