Ia dilihat sebagai satu alternatif sedan empat pintu kepada model sedan elektrik Porsche Taycan, dengan penawaran dimensi yang lebih besar.
Cuma sayang sekali, untuk model generasi baharu ini Porsche tidak lagi akan menawarkan varian Sports Turismo (station wagon), hanya boleh didapati dalam versi sedan liftback sahaja.
Dimensi
Porsche Panamera 2024 menawarkan pakej sepanjang 5,052 mm (5,502 dalam versi Executive), lebar 1,938 mm, tinggi 1,422 mm, ukuran yang tidak banyak berubah berbanding Panamera terdahulu.
Empat pilihan enjin E-Hybrid
Untuk permulaan, Porsche akan menawarkan sehingga empat pilihan trenkuasa E-Hybrid, dengan peningkatan kuasa dan tahap kecekapan dan jarak gerak yang lebih jauh.
Panamera Turbo E-Hybrid dibekalkan dengan nadi bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar yang dipadankan dengan motor elektirk tunggal, transmisi PDK lapan kelajuan dan pek bateri 25.9 kWh.
Kuasa keseluruhan mampu mencecah 670 hp dengan pecutan 0-96 km/j sekitar tiga saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 314 km/j.
Perincian tiga lagi varian E-Hybrid akan didedahkan kelak.
Bagi mereka yang mahukan enjin tanpa bantuan motor elektrik, Porsche Panamera turut dijual dalam versi enjin V6 2.9 liter turbo.
Nadi V6 yang telah dioptimasikan itu mampu menghasilkan 348 hp dan 499 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j kini sepantas 4.7 saat (5.0 saat untuk versi RWD).
Casis
Secara standard, Porsche Panamera datang dengan sistem gantungan udara “two-chamber, two valve” dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) yang lebih selesa dan menawarkan tahap respons yang lebih cepat.
Terdapat juga sistem suspensi baharu Porsche Active Ride yang ditawarkan secara opsyen pada model Panamera E-Hybrid.
Sistem inovatif ini menampilkan penyerap hentak aktif, pam hidraulik elektrik, dan suspensi udara kebuk tunggal yang jauh lebih maju, membolehkan badan Panamera kekal dalam kawalan dalam apa jua keadaan pemanduan.
Menurut Porsche, sistem gantungan terbaharu ini menawarkan julat yang lebih luas antara keselesaan dan juga dinamik pemanduan berbanding sistem sedia ada.
Luaran
Rekaan luaran Porsche Panamera baharu ini dilihat mengikut pendekatan yang sama dibuat pada Cayenne, tampak seperti sebuah model facelift walaupun ia sebenarnya model generasi baharu.
Perubahan yang besar seperti bahagian bampar hadapan dengan bukaan yang lebih besar, unit lampu matriks LED baharu, diikuti dengan unit lampu belakang seakan Porsche 911.
Terdapat pilihan rim bersaiz 21 inci dengan sistem kekunci tengah yang turut ditawarkan kepada pembeli Panamera.
Dalaman ala Taycan
Porsche Panamera merupakan model ketiga yang menggunapakai tetapan tiga skrin pada ruang kabin, selepas Porsche Cayenne.
Ia terdiri daripada skrin kluster digital melengkung 12.6 inci, skrin tengah, diikuti dengan skrin tambahan sebesar 10.9 inci untuk penumpang hadapan, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Tombol gear telah dialihkan ke bahagian papan pemuka, sekaligus menjadikan konsol tengah lebih kemas dan menawarkan ruang storan yang lebih besar.
Ciri lain termasuklah roda stereng yang biasa kita lihat, pengecasan peranti pintar, butang kawalan iklim serta corong pendingin hawa yang telah direka semula.
Harga
Di Eropah, Porsche Panamera dijual pada harga bermula dari €107,800 (RM553k), sementara Panamera Turbo E-Hybrid pula bermula dari €192,500 (RM987k).
Porsche Panamera generasi baharu ini akan dipasang di kilang Leipzig.