Samalah juga halnya dengan Porsche Macan EV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, di mana pengeluar Jerman itu kini menyiarkan beberapa keping gambar rasmi untuk ruang kabin.
Secara standard, Porsche Macan EV akan dibekalkan dengan skrin digital melengkung sebesar 12.6 inci untuk pemandu, diikuti dengan skrin infohibur HD penuh sebesar 10.9 inci di bahagian tengah.
Terdapat juga skrin paparan head-up (HUD) dengan teknologi realiti terimbuh sebesar 87 inci, antara yang terbesar pernah ditawarkan pada ketika ini.
Untuk penumpang hadapan, Porsche turut menyediakan opsyen untuk menambah skrin sebesar 10.9 inci bagi membolehkannya mengakses beberapa fungsi kenderaan, seperti navigasi pemetaan dan penstriman video.
Gugusan butang kawalan iklim fizikal nampaknya masih lagi dikekalkan untuk memudahkan urusan penetapan suhu kabin.
Sistem infohibur Macan menggunakan perisian berasaskan Android, di mana ia boleh dikemaskini menerusi Porsche App Centre dan menyokong pelbagai aplikasi seperti Spotify, YouTube serta tidak ketinggalan Apple CarPlay dan juga Android Auto.
Porsche Macan EV dibangun berdasarkan Premium Platform Electric (PPE) dengan senibina 800-voltan, sokongan pengecasan pantas 270 kW serta sistem pengurusan bateri pintar.
Dalam versi paling berkuasa, Porsche Macan EV mampu menghamburkan kuasa setinggi 603 hp dan daya kilas melebihi 1,000 Nm.
Selain daripada itu, Porsche juga melengkapkan Macan EV dengan sistem brek regeneratif 240 kW, sistem suspensi udara, dan opsyen sistem stereng gandar belakang yang dapat mengurangkan radius putaran dan menawarkan kestabilan pemanduan pada kelajuan tinggi.