Porsche Macan EV bakal muncul 2023, jarak operasi lebih jauh berbanding Taycan!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah pengenalan sedan dan crossover shooting brake Taycan, Porsche kini menumpukan perhatian terhadap segmen kegemaran ramai, iaitu SUV berkuasa elektrik, Macan EV.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut Michael Steiner, anggota Lembaga Eksekutif Unit Pembangunan Dan Penyelidikan Porsche AG, mereka kini sedang berusaha untuk menguji Porsche Macan EV di dalam dunia nyata setelah menjalankan 'ujian' di dalam dunia digital.

Tambah beliau lagi, pembangunan dan ujian digital bukan sahaja menjimatkan kos dan masa, ia juga mampu menjimatkan penggunaan bahan mentah dan meningkatkan kelestarian.

 


Terdapat sehingga 20 unit prototaip digital yang dibangunkan oleh Porsche untuk menjalankan simulasi seperti aerodinamik, pengurusan tenaga, operasi dan juga aspek akustik kenderaan.

Aspek pertama yang disentuh ketika pembangunan prototaip digital Porsche Macan EV adalah aerodinamik bagi memastikan SUV ini kekal memiliki kadar pekali seretan yang rendah yang menyumbang kepada jarak operasi yang lebih jauh.

Ini kerana sedikit penambahbaikan terhadap aliran udara sebenarnya mampu menyumbang kepada perbezaan jarak operasi yang ketara.

Selain daripada itu, solusi penyejukan bagi sistem pemanduan elektrik ternyata berbeza berbanding apa yang digunakan pada sistem konvensional masa kini.

 


Ini kerana sistem trenkuasa elektrik - termasuk motor elektrik, kelengkapan elektronik dan bateri bervoltan tinggi - hanya memerlukan suhu optimum antara 20 hingga 70 darjah Celcius sahaja, berbanding 90-120 darjah untuk kereta berenjin pembakaran dalaman.

Senario kritikal tidak selalu berlaku di atas jalan raya, akan tetapi ketika proses pengecasan pantas menggunakan kuasa yang tinggi terutama ketika suhu persekitaran adalah lebih tinggi.

Dengan menggunakan simulasi, jurutera Porsche berjaya untuk melakukan pengiraan bagi mengoptimasikan aliran suhu secara digital sebelum mengaplikasikannya kepada senario dunia nyata.

Selain daripada elemen yang dibawakan daripada Taycan seperti senibina elektrik 800-voltan, Porsche menjanjikan Macan EV akan menjadi model yang paling sporti di dalam segmennya, selain menawarkan jarak operasi yang lebih jauh, pengecasan pantas dan kadar penghasilan tenaga semula yang terbaik.

 


Porsche Macan EV merupakan model Porsche pertama yang dibangunkan atas pelantar Premium Platform Electric (PPE) dan bakal muncul pada tahun 2023.

Menjelang pelancarannya kira-kira dua tahun lagi, Porsche Macan EV bakal melengkapkan jarak ujian sejauh 3 juta kilometer merangkumi pelbagai jenis kondisi cuaca dan pemanduan di seluruh dunia.

Namun sebelum itu, Porsche akan melancarkan sebuah lagi model pengganti kepada Macan sedia ada untuk tahun ini dengan menggunakan trenkuasa konvensional sebelum mereka beralih sepenuhnya kepada Macan EV.

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Sepuluh tahun selepas pelancaran generasi pertama, Macan generasi baharu ini merupakan model…
Berita Global
Samalah juga halnya dengan Porsche Macan EV yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, di mana…