Ada yang menggunakan kereta dengan modifikasi perlumbaan dan itu jauh dari realiti kereta di atas jalan raya. Rekod terpantas dicatatkan Porsche ini ialah dalam kereta spesifikasi jalanan yang diluluskan dengan masa 6 minit 47.3 saat.
Rekod tersebut dibuat dengan kehadiran pegawai penilai dan catatan itu sendiri di luar jangkaan Porsche yang pada mulanya meletakkan sasaran kurang dari 17 minit 5 saat.
Masa yang dicatatkan tersebut menjadikan GT2 RS bukan sahaja paling berkuasa malah model 911 paling pantas pernah dibangunkan.
Suatu yang menarik apabila masa yang dicapai itu bukan dibuat hanya sekali. Dua pemandu iaitu Lars Kern dari Jerman dan Nick Tandy dari UK sebenarnya telah memecahkan rekod masa terpantas yang dipegang kereta lain dengan masa 6 minit 52.01 saat dalam percubaan pertama lagi.
Mereka kemudian berjaya menghabiskan lima lagi pusingan dengan catatan masa di bawah 6 minit 50 saat. Rekod yang dicatatkan itu menunjukkan prestasi konsisten apabila dua pemandu menggunakan dua kereta berbeza dan memperolehi masa yang tidak jauh berbeza.
Tandy ialah pelumba rasmi Porsche dan beliau tiba dari Austin, Texas selepas perlumbaan enam jam menggunakan kereta prototaip Le Mans Porsche 919 Hybrid. Beliau kemudian beralih ke Porsche 911 GT2 RS berkuasa 700 hp di Nürburgring yang dipasangkan tayar Michelin Pilot Cup 2 dengan pemanduan menggagumkan.
Rekod terpantas yang dicatatkan Porsche GT2 RS pula berjaya dicapai oleh Lars Kern, pemandu uji rasmi pengeluar Jerman itu. Selain Perlumbaan Carrera Cup Australia, Kern selalu berlumba dalam VLN Endurance Championship di Nürburgring dan beliau sememangnya mahir dengan litar tersebut.
Rekod dicatatkan bermula pada pukul 7:11 malam dan ia dicapai dalam keadaan cuaca luar yang ideal. Kelajuan purata Porsche GT2 RS di litar itu ialah 184.11 km/j.
Model 911 yang kini secara rasmi paling berkuasa dan pantas pernah dihasilkan untuk versi jalanan ini baru sahaja dipertontonkan di Festival of Speed, Goodwood UK pada penghujung Jun lalu.
Porsche 911 GT2 RS menggunakan enjin 3.8 liter enam silinder biturbo berkuasa 700 hp dengan tork 750 Nm. Kereta ini mempunyai berat sebanyak 1,470 kg termasuk setangki minyak penuh.
Kereta ini memang pantas, kelajuan maksimumnya ialah 340 km/j dan ia 80 hp dan 50 Nm lebih berkuasa berbanding 911 GT2 RS dengan enjin 3.6 liter sebelum ini. Ia mampu memecut dari kosong sehingga 100 km/j dalam 2.8 saat.
Selain itu, tidak seperti GT2 RS sebelum ini yang dikeluarkan dalam 500 unit terhad model 2018 boleh dimiliki sesiapa sahaja tanpa had pengeluaran dengan harga permulaan USD 294,250 atau bersamaan RM 1,243,094.
Porsche GT2 RS juga adalah varian 911 paling mahal setakat ini.
Penulis: Muhammad Md Tajudin