PETRONAS kekal kedudukan selaku jenama ASEAN paling bernilai 2022

oleh Mohamad Hanif|
Petronas mengekalkan kedudukannya sebagai jenama ASEAN paling bernilai dalam laporan ‘Brand Finance Global 500’ tahun ini di samping menjadi antara 10 jenama minyak dan gas utama dunia.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, Indeks Kekukuhan Jenama (BSI) Petronas -- dinilai berdasarkan prestasi jenama yang menumpukan pengukuran tidak ketara berbanding pesaingnya -- meningkat daripada 87 pada 2021 kepada 87.7 pada 2022, sekali gus menjadikan rankingnya sebagai jenama ASEAN paling utama.

Brand Finance menyatakan kedudukan Petronas itu didorong oleh prestasi jenamanya yang konsisten, menyumbang kepada nilai jenama sebanyak US$13.6 bilion pada 2022 berbanding US$12 bilion pada 2021, lonjakan 13 peratus, jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Petronas menambah, pencapaian ini juga dipacu oleh peningkatan permintaan tenaga apabila ekonomi global pulih dan berada pada fasa pascapandemik, membolehkannya bangkit daripada cabaran dalam sektor minyak dan gas yang dialami tahun lepas.

Brand Finance mempertimbangkan tiga komponen utama dalam menilai jenama, yang ditentukan oleh kekukuhan jenama, perniagaan dan prospek ekonomi, menurutnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata warga Petronas bersyukur atas pengiktirafan yang berterusan sebagai jenama ASEAN paling bernilai itu.

“Pengiktirafan ini merupakan bukti kukuh terhadap usaha berterusan Petronas dalam memenuhi tujuannya, iaitu untuk menjadi rakan kongsi tenaga dan penyelesaian yang progresif.

“Kami kekal komited sepenuhnya dalam menyediakan akses kepada tenaga yang lebih bersih, berpatutan dan terjamin untuk pelanggan kami, di samping memperkaya kehidupan demi masa depan yang lestari,” katanya.

Laporan ‘Brand Finance Global 500’ bagi 2022 mengenai jenama paling bernilai di dunia yang meliputi seluruh sektor dan negara telah diumumkan pada 26 Jan, 2022 menerusi webinar.

Menurut laman web rasmi Brand Finance, ia merupakan firma perundingan penilaian dan strategi jenama bebas terkemuka dunia yang beribu pejabat di London, United Kingdom.

Ia diasaskan pada 1996 dengan tujuan merapatkan jurang antara pemasaran dan kewangan.

Sumber: Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Entiti ini menjadi hak milik sepenuhnya oleh PETRONAS dan menyasarkan matlamat untuk menjadi…
Informasi
Solusi yang pertama seumpamanya ini disediakan sekarang untuk 1,000 pengguna Setel pertama yang…
Sukan Bermotor
Ini merupakan kali pertama PETRONAS menjadi penaja utama penganjuran GP Malaysia selepas mencapai…