Usaha meneraju penyelarasan komunikasi dan perlaksanaan pelan keselamatan jalan raya kini mengalami angin perubahan pantas apabila Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Rosli Isa telah menerima notis pertukaran pada minggu lalu ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau telah diminta melapor diri di JPA hari ini selepas mengetuai JKJR selama dua tahun dan juga setelah bertugas selama 12 bulan di Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pengangkutan.
Perpindahan Rosli ke JPA mengejutkan ramai pejuang keselamatan jalan raya termasuk juga mereka yang berada dalam kajian akademik berserta mereka yang telah berkerja keras demi agenda mengurangkan nahas jalan raya.
Rosli yang dilihat sebagai pentadbir yang tegas dan teratur di kalangan aktivis keselamatan jalan raya, telah menggariskan beberapa panduan pelan antara lainnya menjadikan Putrajaya sebagai bandar selamat dan program duta keselamatan jalan raya untuk pelbagai peringkat seluruh negara.
Di bawah pentadbirannya, JKJR telah menerima Anugerah Keselamatan Jalan Raya Antarabangsa Putera Michael untuk Projek Pendidikan Keselamatan Jalan Raya bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
"Kerjasama rapat Rosli dengan kumpulan penunggang iaitu kumpulan dari kalangan penunggang motosikal berkuasa besar dan pengguna 'kapcai' pasti akan dirindui," kata seorang pegawai kanan JKJR.
Careta dimaklumkan bahawa pegawai yang kini mengetuai JKJR sebagai Ketua Pengarah yang baru adalah Mohd Nasri Ishak. Beliau dijangka melaporkan diri pagi ini di ibu pejabat JKJR.