Terbaharu, Toyota mengumumkan versi terkecil yang bakal menjadi asas kepada pelbagai model yang kompak, dan diposisikan di bawah platform segmen C sedia ada, dikenali sebagai TNGA-B (GA-B).
Platform GA-B merupakan sebuah lagi pelantar bersifat modular dan boleh dipanjangkan dimensi jarak antara roda dan jarak trek sedia ada yang boleh diadaptasikan kepada beberapa buah model baharu.
Walaupun ia direka untuk kereta bersaiz segmen B, ruang suspensi belakang pelantar ini direka bagi membolehkan sistem suspensi yang lebih ringkas seperti torsion beam, atau suspensi multi-link yang lebih kompleks.
Menurut Toyota, kenderaan di bawah platform ini memiliki sifat pemanduan yang lebih menyeronokkan, disebabkan posisi pemanduan yang lebih dekat dengan titik tengah casis, dan posisi roda stereng.
Manakala roda pula terletak jauh menghampiri keempat-empat sudut casis, memberikan jarak antara roda yang lebih panjang, sekaligus menawarkan ruang dalaman yang lebih luas.
Di tempat duduk belakang pula, terdapat pek bateri yang besar memberikan gambaran bahawa akan ada model baharu berkuasa hibrid, atau kenderaan plug-in hybrid (PHEV) bergantung kepada pasaran.
Walaupun tidak diketahui model manakah yang bakal menggunapakai platform ini, tidak susah untuk meneka kerana Toyota sendiri bakal menggantikan model Yaris yang sudah menghampiri penghujung kitaran usia, dan beberapa model crossover segmen B di bawah C-HR.