Toyota Sienna 2021 - minivan generasi keempat dari platform Camry (pasaran US)

oleh Mohamad Hanif|
Toyota Sienna (tiada kaitan dengan Toyota Sienta) merupakan sebuah model minivan yang dijual khusus di pasaran Amerika Syarikat bagi melawan minivan lain seperti Honda Odyssey, Kia Sedona (Grand Carnival), Chrysler Pasifica dan Dodge Grand Caravan.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Setelah tiga generasi, Toyota akhirnya melancarkan generasi keempat Toyota Sienna yang dibangunkan daripada platform TNGA-K - pelantar sama digunakan bagi model Camry, Highlander, Avalon, RAV4 dan Harrier.

Jika dibandingkan dengan generasi terdahulu, Toyota Sienna generasi keempat ini nyata lebih agresif, terima kasih kepada rekaan gril yang besar, lampu utama yang tajam, serta bumper belakang yang menyerupai model SUV Highlander.

 


Buat pertama kali, Toyota mendatangkan penawaran rim sporty bersaiz 20 inci dan ia dikhususkan untuk varian XSE yang turut didatangkan dengan talaan suspensi yang lebih keras dan lebih rendah untuk pengendalian yang lebih baik.

Unit penjanaan kuasa pula terdiri daripada enjin petrol empat silinder sebaris 2.5 liter dengan dua motor elektrik untuk pacuan roda hadapan, atau konfigurasi tiga motor elektrik untuk versi pacuan semua roda.

Secara asasnya, unit hibrid ini mampu menghamburkan 243 kuasa kuda dan memberikan pulangan bacaan bahan api serendah 7.12 liter/100 km.

 


Mod pemanduan pula terdiri daripada mod EV, Normal, Eco dan Sport.

Antara kelengkapan standard yang dibawakan pada Sienna ini termasuklah skrin paparan bersaiz 9.0 inci yang menawarkan sambungan Android Auto, Apple CarPlay dan Amazon Alexa, skrin instrumen digital 7.0 inci, indikasi Hybrid System, tempat duduk fabrik dan tujuh slot USB yang boleh didapati di dalam kabin.

Sementara varian XLE pula didatangkan ciri kemasan kulit palsu Softdex dua tona, tempat duduk boleh laras lapan cara untuk pemandu dan empat cara untuk penumpang, Toyota Audio Plus yang menambah sehingga lapan unit pembesar suara (berbanding enam pada varian asas), serta sambungan kepada Wi-Fi.

 


Varian Limited dan Platinum pula didatangkan dengan Toyota Premium Audio System dengan 12 pembesar suara dan sistem navigasi dinamik, manakala varian Platinum pula merupakan satu-satunya varian yang hadir dengan paparan head-up 10 inci dan kamera 360 darjah.

Varian XSE yang lebih sporty itu pula didatangkan dengan tempat duduk yang lebih sporty dibaluti kulit Softdex.

Dari segi keselamatan, Sienna 2021 dilengkapi dengan Toyota Safety Sense 2.0 yang merangkumi brek kecemasan automatik, kawalan pelayaran adaptif, amaran keluar laluan dengan bantuan stereng, bantuan papan tanda dan suluhan tinggi automatik.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Minivan Estima generasi pertama itu digantikan dengan Toyota Sienna 2021 serba baharu yang…
Berita Global
Ternyata, langkah Lexus menjadi apabila ia berjaya meraih populariti di kalangan golongan kaya yang…