Pelancaran rasmi SUV Range Rover Evoque 2020 bulan hadapan

oleh Mohamad Hanif|
Jaguar Land Rover Malaysia difahamkan akan menetapkan pelancaran rasmi SUV kompak mewah serba baharu Range Rover Evoque 2020 yang dijadualkan pada awal bulan hadapan (Jun 2020).
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Membawakan bahasa rekaan serba baharu dan senang untuk dicam, Range Rover Evoque tidak ketinggalan menampilkan teknologi bantuan pemanduan termaju, teknologi pemanduan off-road serta sistem berbantu kepintaran buatan (AI).

 


Antara ciri standard yang bakal dibawakan termasuklah versi baharu 'ClearSight Rear View Mirror' - ciri di mana imej cermin pandang belakang akan dipaparkan menerusi skrin berdefinisi tinggi sekiranya medan penglihatan tersebut terhalang oleh penumpang atau barangan kargo yang besar.

Selain daripada itu, ciri 'ClearSight Ground View' pula membolehkan pemandu melihat secara maya halangan yang berada di bawah ruang enjin menerusi paparan skrin sentuh dengan keluasan pandangan sehingga 180 darjah.

 


Range Rover Evoque juga merupakan model pertama Land Rover yang hadir dengan ciri kepintaran buatan yang mampu mempelajari pilihan pemandu seperti kadar keselesaan kabin, tetapan media, kedudukan tempat duduk, poisi stereng, dan mampu mengingati sehingga lapan tetapan yang berbeza pada satu-satu masa.

Semua ini boleh dikawal menerusi sistem infotainmen Land Rover InControl® Touch Pro Duo yang menggandingkan skrin kaca 10 inci berdefinisi tinggi serta skrin paparan digital 12.3 inci di hadapan pemandu.

 


Dari segi ruang kargo, Evoque 2020 mampu menawarkan ruang maksimum sehingga 1,383 liter, terima kasih kepada tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat pada nisbah 40:20:40.

Antara ciri keselamatan baharu yang didatangkan termasuklah Bantuan Pengekalan Laluan serta teknologi Pemantauan Keadaan Pemandu yang mampu memberikan amaran berbentuk audio dan paparan pada skrin setelah mengesan pemanduan yang tidak normal akibat kepenatan pemandu.

 


Range Rover Evoque baharu juga membawakan enjin 2.0 liter Ingenium berkuasa turbo dengan talaan terhadap kadar respons pendikit yang lebih pantas serta daya tujahan segera yang dipadankan dengan transmisi automatik sembilan nisbah kelajuan.

Pihak Jaguar Land Rover akan mendedahkan butiran lanjut seperti varian serta harga jualan ketika pelancaran dibuat kelak.

Setiap model Land Rover yang dijual di Malaysia didatangkan dengan program Land Rover Care yang merangkumi jaminan pengeluar selama lima tahun atau jarak perbatuan 150,000 km, Servis lima tahun atau jarak perbatuan 65,000 km serta bantuan tepi jalan tiga tahun. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan Autocar UK, Jaguar mengesahkan operasi pemasangan Castle Bromwich bagi model yang…
Berita Global
Menurut laporan daripada Autocar, model 'baby Defender' tersebut akan dibina menggunakan platform…
Berita Global
Menerusi pendekatan terbaharu House of Brands itu, JLR mahu memfokuskan kepada empat jenama utama…