Pandu Uji: Perodua Axia 2023 - yang baik dan yang buruk

oleh Mohamad Hanif|
Sehingga ke saat artikel pandu uji ini ditulis, sudah kelihatan puluhan unit Axia sudah pun menjalar di atas muka bumi Malaysia.

Berdasarkan semakan di media sosial Careta, tidak kurang ramai juga yang menyambut baik kehadiran Axia, ada juga sesetengah pihak yang merasakan Axia lama jauh lebih hensem (ke?).
 

Axia


Apa pun alasan anda, Perodua Axia 2023 sudah pun selamat dirasmikan, diikuti dengan 'kembar-kembarnya' Toyota Agya dan Daihatsu Ayla di negara jiran Indonesia.

Untuk bercakap berkenaan spesifikasi secara terperinci, kami sudah pasti dan yakin anda sendiri sudah pun berkali-kali mengkhatamkan ciri-ciri yang sudah berulang kali dimuat naik dalam media sosial, atau menerusi video-video oleh rakan media lain.

Jadi, adalah lebih baik jika kami terus sahaja kepada poin-poin penting yang kami telah rasakan setelah hampir seminggu memandu uji Axia 2023 ini.

 

1. Rupa paras luar - lebih garang, tapi...

Axia


Penulis pada mulanya sukar untuk memproses keseimbangan rupa paras yang ditawarkan oleh Axia 2023.

Ini kerana tidak seperti reka bentuk belakang yang kosong, muka hadapan Axia pula tampak agak sibuk, atau terlebih garang dan agresif.

Jika dibandingkan dengan Myvi 2022 facelift, ia tidak nampak janggal disebabkan dimensi yang lebih lebar, tapi untuk Axia, pendekatan itu dilihat serba tak kena.
 

Axia


Tapi setelah beberapa hari menggunakan Axia, perasaan janggal tersebut lama kelamaan hilang, mungkin sudah terbiasa selepas melihat kehadiran Axia-Axia baharu di atas jalan raya.

Cuma rim 14 inci itu nampaknya masih lagi mengekalkan rekaan daripada model terdahulu, Perodua seakan sudah tahu riwayat rim tersebut tidak akan kekal lama saat ia berjumpa dengan pemilik baharu.

 

2. Ruang kabin Axia baru jaaaaauh lebih baik

Axia


Ruang kabin merupakan lokasi kedua yang menjadi tumpuan penulis.

Manakan tidak, Axia yang terdahulu nampak terlalu kosong, dan mencerminkan sifatnya sebagai sebuah kereta murah.

Namun kini, Axia 2023 sudah lebih maju.
 

Axia


Dimulakan dengan papan pemuka, ia kini membawakan perkadaran yang lebih seimbang walaupun hakikatnya ia banyak meminjam elemen daripada Ativa/Alza.

Skrin kluster digital seperti contoh, boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dengan model-model yang disebutkan tadi, terutama sekali pilihan rekaan meter yang terlalu fancy itu (penulis sedar diri ini sudah tua).

Mungkin satu hari nanti Perodua boleh tambah pilihan meter rpm yang jauh lebih ringkas, dan tidak terlalu merapu-rapu.
 

Axia


Tolak ketepi rekaan meter yang tak kena dengan jiwa itu, ia masih lagi mampu menawarkan bacaan info yang mudah untuk dilihat, walaupun di bawah sinaran mentari yang terik.

Varian tertinggi turut mendapat butang pandu mula, kawalan iklim digital (dengan fungsi memori), serta skrin tengah bersaiz sembilan inci (sayang sekali tak disertakan dengan Apple CarPlay!).
 

Axia


Yang penulis gemar, susun atur papan pemuka Axia baharu ini lebih berorientasikan pemandu, di mana kedudukan skrin tengah serta suis kawalan pendingin hawa sengaja diposisikan menghadap pemandu.

Rasa macam Axia baharu ini lebih mewah, walaupun untuk sebuah kereta bawah julat RM50 ribu.

Yang tidak digemari, kedudukan tempat meletakkan cawan yang berada betul-betul di hadapan tombol gear. Agak sukar untuk meletak atau mengambil cawan kopi kegemaran apabila tombol berada dalam kedudukan P.

 

3. Perkakasan pemanduan yang boleh buatkan anda jatuh cinta dengan Axia 2023

Axia


Antara perkara penting yang dilihat oleh seseorang pemandu ialah rekaan tempat duduk, roda stereng, tombol gear, serta butang-butang fungsi yang berkaitan.

Roda stereng Axia 2023 varian AV hadir dengan ciri balutan kulit yang sedap untuk dipegang.
 

Axia


Ciri yang amat dinanti-nantikan di mana Axia baharu membawakan larasan kedudukan stereng (tilt) yang sebelum ini tidak ada langsung pada Axia (dan juga kembarnya Bezza).

Ini kerana Axia yang terdahulu mempunyai kedudukan kerusi dan stereng yang tinggi, rasa macam bawa van pun ada!

Tempat duduk Axia baharu ini pula membawakan bentuk seakan kerusi bucket, ia memegang erat badan penulis yang bersaiz sederhana ini dengan baik, selain bahagian kusyen yang boleh mengelakkan kaki daripada rasa tergantung sepanjang masa.
 

Axia


Selain itu, tombol gear juga sudah rasa lebih premium, dan posisi yang ditinggikan bertujuan untuk memudahkan capaian tangan pemandu.

Gandingan kesemua ciri yang disebutkan itu menjadikan Axia baharu ini jauh lebih sedap dan selesa untuk dipandu, walaupun terpaksa menempuh kesesakan trafik yang kerap di ibu kota.

Seperkara yang kurang enak, posisi brek tangan masih lagi terletak jauh di bawah. Untuk mereka yang mempunyai tangan pendek mungkin perlu merendahkan badan sekali sewaktu mahu menarik brek tangan.


4. Ciri moden lain yang ada pada Axia

Axia


Kecuali varian G, kesemua Axia 2023 kini ditawarkan secara standard dengan ciri lampu utama LED automatik, serta fungsi larasan ketinggian suluhan secara manual.

Seperkara yang penulis amat hargai pada Axia 2023, ialah tuil suis lampu yang langsung tidak menyertakan fungsi OFF, di mana ciri ini dah dibawakan sejak dari Myvi 2022 facelift lagi.
 

Axia


Apa kebaikan ciri ini? Lampu utama akan dinyalakan secara automatik pada waktu malam (atau saat masuk kawasan yang gelap seperti terowong), dan para pemandu tidak lagi menerima sumpah seranah ghaib daripada pengguna lain disebabkan mereka lupa untuk menyalakan lampu utama.

Ini merupakan satu perkara yang kerap juga kami jumpa atas jalan raya, di mana ada segelintir pemandu Perodua yang terlupa untuk menyalakan lampu utama walaupun laungan azan maghrib sudah pun lama berkumandang.
 

Axia


Suluhan lampu utama itu juga cukup terang pada waktu malam.

Cuma bahagian belakang, ia tidak didatangkan dengan ciri lampu LED, hanya ada lampu mentol sahaja walaupun lampu brek ketiga Axia sebenarnya sudah pun didatangkan dalam bentuk LED.

 

5. Keselamatan menyeluruh untuk sebuah hatchback RM50k

Axia


Selain daripada ciri biasa seperti ABS, EBD, Bantuan Brek, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak, Axia 2023 juga nyata mampu memalukan pesaing daripada segmen berlainan.

Untuk versi tertinggi AV, Axia 2023 dilengkapi dengan enam (ya, ENAM) beg udara, ciri ASA 3.0 (Amaran Pra-Pelanggaran, Brek Kecemasan Automatik (AEB), Kawalan Salah Operasi Pedal, dan Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan), serta tambahan ciri seperti Bantuan Suluhan Tinggi (AHB), Amaran dan Pengelakan Keluar Lorong (LDW), Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).
 

safety


Sepanjang tempoh pandu uji, penulis nyata berpuas hati kerana ciri yang disebutkan itu bukanlah satu wayang, tapi berfungsi seperti yang sepatutnya dalam dunia sebenar.

Seperti contoh, roda stereng akan serta merta memberikan maklum balas untuk memastikan kereta berada di lorong sepatutnya selepas ia mengesan kereta 'mempunyai niat' untuk keluar lorong tanpa memberikan isyarat.

Saat brek kecemasan automatik berfungsi, ia turut disekalikan dengan bunyi amaran bagi menyedarkan pemandu tentang wujudnya bahaya di hadapan.
 

Axia


Walaupun Axia sebuah kereta kecil, ia mempunyai sistem pemantauan titik buta yang sangat membantu menyedarkan pemandu tentang kewujudan pengguna lain yang mungkin berada di luar medan penglihatan cermin sisi dan belakang.

Sekurang-kurangnya dengan ada ciri yang dinyatakan, ia mampu merendahkan risiko pelanggaran di atas jalan raya walaupun kita sudah pun mengamalkan 100 peratus panduan yang diberikan oleh buku sekolah memandu.

 

6. Axia baru lebih luas, praktikal

Axia


Dengan menggunakan platform serba baharu, Axia baharu berjaya ditawarkan dalam dimensi yang lebih besar berbanding model terdahulu.

Ukuran jarak antara roda juga menjadi lebih panjang, dan ia menjadikan ruang dalaman Axia lebih luas dan selesa, walaupun ukuran tinggi bumbung lebih rendah.
 

Axia


Duduk di dalam kabin Axia, masih lagi wujud ruang kepala yang memuaskan, sementara ruang kaki juga tidak terlalu sempit dirasakan.

Ukuran dimensi yang lebih panjang juga turut menyumbang kepada ruang kargo yang lebih besar di bahagian belakang.

 

7. Bagaimana pula dengan aspek pemanduan?

Axia


Impresi pertama penulis saat pertama kali memandu Axia - "Ok, Axia baharu ni jauh lebih baik".

Kenapa lebih baik?

Pertama sekali, selain daripada kerusi yang sedap, respons stereng Axia juga kini jauh lebih responsif dan lebih berkomunikasi.

Pulasan stereng juga dirasakan lebih telus dan lancar dan yang paling penting pengendalian Axia ini tidaklah sepenat abangnya Myvi walaupun terpaksa menempuh kesesakan trafik yang serupa setiap hari.
 

Axia


Lebih penting, talaan yang diberikan pada sistem stereng menjadikan amat mudah untuk kita mengagak pergerakan Axia ini semasa pemanduan halaju tinggi, atau semasa meratah selekoh jalan-jalan lama pada kelajuan yang dibenarkan.

Platform DNGA (Daihatsu New Global Architecture) menjadikan pemanduan yang lebih stabil, sementara talaan suspensi yang ditambah baik turut menyumbang kepada keselesaan yang tersendiri.

Cara sistem tersebut menyerap segala hentakan dan jalan raya yang tidak rata menyebabkan kita lupa Axia sebenarnya sebuah kereta bawah RM50 ribu.

 

8. Enjin lama, tapi transmisi baharu

Axia


Berita kurang enak buat para pendamba falsafah 'tekan tekan pergi'.

Tiada enjin turbo 1.0 liter, akan tetapi Axia 2023 dilancarkan dengan enjin lama 1.0 liter (kod 1KR-VE) yang lasak dan terbukti jimat bahan api.

Menjadikan Axia lebih jimat bahan api ialah gandingan transmisi D-CVT yang sebelum ini telah pun muncul pada model Myvi facelift.

Menurut kata Perodua, dengan penggunaan transmisi D-CVT mampu menjadikan Axia memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 3.65 liter/100 km (27.4 km/Liter).
 

Axia


Talaan enjin berkuasa 67 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 91 Nm @ 4,400 rpm itu sebenarnya sudah cukup berkuasa untuk kegunaan seharian.

Satu kekurangan yang ketara, ialah kehadiran gegaran tipikal yang dihasilkan oleh enjin tiga silinder itu sewaktu enjin mula dihidupkan serta semasa dalam keadaan statik kesesakan trafik.

Namun usah risau kerana tahap gegaran tersebut akan beransur-ansur hilang semasa Axia dipandu dan pada kelajuan tinggi anda mungkin terlupa yang anda sedang memandu sebuah Axia.
 

Axia


Disebabkan sifatnya sebagai sebuah enjin yang kecil dan direka untuk jimat bahan api, agak sukar untuk mengerahkan Axia pergi dengan lebih laju secara tiba-tiba terutama ketika memotong lori treler atau kereta yang mencari rumah sewa di tengah lebuh raya.

Jika mahukan respons enjin yang lebih agresif, tekan sahaja butang PWR yang terdapat pada roda stereng. Ia tidaklah seagresif seperti sebuah kereta turbo, tapi lebih daripada mencukupi untuk sebuah kereta kecil.

Namun jika anda jenis seorang yang sabar dan mempunyai kaki kanan yang tidak cukup berat, Axia sebenarnya boleh dikerah perlahan-lahan untuk mencapai kelajuan yang diinginkan.

Pada julat kelajuan di lebuh raya, bunyi bising dari luar (pukulan angin atau bunyi enjin) adalah pada tahap yang minimum.
 

Axia


Ini kerana para jurutera Perodua telah menambah penggunaan bahan penyerap bunyi pada lokasi yang strategik (fender, trim pintu, papan pemuka, bonet enjin) bagi mengurangkan kesan bunyi bising daripada mengganggu penumpang.

Selain itu, bahagian tapak cermin sisi juga telah direka semula bagi mengurangkan bunyi bising angin.

Hasilnya, pengalaman pemanduan yang lebih senyap dan selesa, serta tidak memenatkan badan walaupun terpaksa menempuh jarak yang jauh.
 

Axia


Selain daripada itu, pengendalian Axia juga banyak disumbangkan oleh penggunaan tayar yang jauh lebih baik berbanding Axia terdahulu yang menggunakan getah Silverstone.

Dalam kes Axia, ia kini didatangkan dengan tayar Toyo Proxes CR1 secara standard dari kilang yang menjadikan pemanduan mudah dikawal, serta lebih senyap dengan bunyi bising golekan yang minima.

Kalau ada masa, penulis sarankan supaya cuba pandu sendiri Axia baharu ini, dan bandingkannya dengan model Axia lama untuk merasai sendiri perbezaan yang penulis maksudkan.

 

9. Axia 2023, berbaloikah?

Axia


Perodua Axia 2023 dijual pada harga bermula dari RM38,600 sementara varian yang kami pandu uji ini berharga dari RM49,500.

Sesetengah pihak mungkin beranggapan Axia 2023 jauh lebih mahal, dan tak berbaloi.

Ada pula pihak mendakwa, 'baik beli Myvi 1.5X, jauh lebih besar dan lebih garang'.

Cuma bagi penulis sendiri, Axia 2023 mempunyai banyak kelebihan berbanding Axia yang lama (termasuk Myvi yang disebutkan tadi).

Kelebihan tersebut disumbangkan oleh:

  • penggunaan platform baharu,
  • dimensi yang lebih besar,
  • ruang kabin yang selesa dan senyap,
  • talaan stereng dan suspensi yang jauh lebih baik,
  • ergonomik pemanduan yang tidak memenatkan,
  • paling utama, kelengkapan keselamatan yang wujud secara standard dari kilang.

 

Axia


Buat masa ini, Axia 2023 merupakan 'Wira Tunggal' di dalam segmennya.

Jika ada calon kereta dari jenama lain pun, ia sudah lagi tidak dijual secara rasmi, dan anda mungkin perlu mencarinya di kedai-kedai kereta terpakai.

Berita Berkenaan

Informasi
Sejak dilancarkan pada penghujung April, PEUGEOT 408 telah menerima maklum balas positif dengan…
Kereta
Mungkin ada beberapa “luahan” penulis sedikit tidak sependapat dengan segelintir pembaca, kerana CX…
Berita Global
Ketua Lembaga Ibu Kota Nusantara (IKN), Bambang Susantono, memaklumkan bahawa alat ganti kenderaan…