Pandu Uji: Mazda6 edisi ulang tahun ke-20 - sedan segmen D yang bakal dilupakan

oleh Mohamad Hanif|
Bila sebut tentang persaingan antara sedan segmen D, model apakah yang kerap bermain di fikiran?
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ya, tekaan anda sama dengan apa yang penulis fikirkan - dua musuh ketat datang dari pengeluar Jepun, iaitu Toyota Camry vs Honda Accord.

Kerap kali kita terlupa, pasaran Malaysia juga sebenarnya ada sebuah lagi sedan Jepun, iaitu Mazda6, selain sedan Korea Selatan iaitu Hyundai Sonata yang sukar untuk kita kesan kehadirannya atas jalan raya.
 

mazda6


Sedar atau tidak, generasi ketiga Mazda6 ini telah pun wujud sejak tahun 2012 lagi, menjadikannya sedan segmen D yang agak tua di dalam pasaran.

Tua tak bermakna kurang berbisa, kerana Mazda6 edisi ulang tahun ke-20 ini sebenarnya masih lagi mampu untuk memalukan pesaing di dalam kelasnya.

Berikut ulasan ringkas kami:

 

1. Rupa paras luaran yang elegan, menawan

mazda6


Sukar untuk kita percaya Mazda6 generasi terkini ini sudah 12 tahun berada di pasaran.

Akan tetapi Mazda masih lagi mempunyai cara tersendiri untuk menjadikan sedan tersebut terus relevan.
 

mazda6


Seperti contoh, edisi ulang tahun ke-20 ini didatangkan dengan warna Artisan Red Premium, bagi penulis ini merupakan warna yang paling cantik pernah dilayangkan untuk sebuah Mazda.

Bergantung kepada pencahayaan, anda akan mendapat sebuah kereta dengan penampilan yang berbeza, mungkin berwarna merah, ungu, atau mungkin sekali warna perang gelap.
 

mazda6


Sebagai seorang yang tidak gemar akan penggunaan warna krom, penulis tidak berdepan dengan masalah apabila melihat bahagian hadapan sedan ini, di mana penggunaan warna krom itu dilihat tidak keterlaluan, malah tampak sesuai pula.

Menaikkan lagi seri Mazda6 20th Anniversary ini ialah rim bersaiz 19 inci serta kemasan jeriji berwarna gunmetal.

Mengakhiri kemasan unik pada bahagian luar ialah tampalan lencana ulang tahun ke-20 pada bahagian fender.

Cantik. Sangat cantik. Noktah.
 

2. Ruang kabin yang cukup selesa, cuma..

mazda6


Secara standard, Mazda6 20th Anniversary ini dibekalkan dengan tempat duduk balutan kulit tan yang sangat selesa, dan rekaan yang mampu memegang erat pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

Cuma penggunaan warna yang agak terang itu mungkin tidak begitu sesuai untuk mereka yang mempunyai anak kecil.
 

mazxa6


Susun atur papan pemuka adalah tipikal Mazda, ringkas, minimalis, di mana hampir kesemua butang kawalan amat mudah untuk dicapai oleh pemandu, termasuklah butang HVAC di bahagian bawah corong pendingin hawa tengah.

Sistem infohibur juga menawarkan menu dan fungsi yang mudah untuk diakses.

Penulis secara jujurnya gemarkan penggunaan skrin kluster digital yang masih lagi mengekalkan rekaan meter analog pada Mazda6 ini.
 

mazda6


Penggunaan saiz fon huruf yang amat mudah untuk dibaca, dan kurang pula gangguan terhadap pemandu sepanjang perjalanan.

Mungkin kalau dibandingkan dengan kereta-kereta moden yang rata-ratanya dilengkapi dengan skrin kluster digital penuh, Mazda6 ini nampak macam ketinggalan zaman.
 

mazda6


Kekurangan yang wujud pada Mazda6 ini ialah ruang penumpang belakang yang tidak begitu luas, terutama pada bahagian kaki.

Selain itu, mereka yang mahukan pelbagai jenis jajan moden dan canggih mungkin sukar untuk menerima susun atur yang ditawarkan pada ruang kabin Mazda6 ini.
 

3. Aspek pemanduan - seperti yang anda jangkakan daripada sebuah Mazda

Mazda6


Secara jujurnya, untuk sebuah kereta sedan dengan enjin aspirasi natural, kelebihan sebenar Mazda6 ini tidaklah terserlah dengan jelas saat lampu isyarat merah bertukar hijau.

Ia bukanlah sebuah kereta yang lembab juga, memandangkan Mazda6 ini masih lagi boleh bersaing dengan baik jika anda tahu cara untuk mengeksploit kuasa nadi Skyactiv-G 2.5 liter ini dengan berkesan.
 

Mazda6


Atas kertas, enjin empat silinder sebaris ini mampu menghasilkan kuasa setinggi 192 hp dan 258 Nm yang dipadankan dengan kotak gear automatik enam nisbah kelajuan.

Respons pedal juga tidak mengecewakan, ditambah pula dengan pulasan roda stereng yang cukup tajam berperisa dan tidak menunjukkan tanda-tanda yang mampu menipu pemandu.

Saat Mazda6 ini mencecah kelajuan tiga angka, pemanduan dirasakan lebih selesa dan stabil, di mana kadar kebisingan, kekasaran dan gegaran adalah minima.
 

mazda6


Cuma apabila ia dikerah dengan lebih pantas, penumpang dan pemandu boleh rasakan tujahan angin yang cuba untuk menembus ruang kabin.

Talaan suspensi juga lebih cenderung untuk keselesaan pemanduan pada julat tertentu sahaja.

Untuk pemanduan dalam bandar, Mazda6 menawarkan tahap keselesaan yang sukar untuk dicapai oleh pesaingnya.

Samalah juga halnya ketika menempuh jalan yang berliku, di mana Mazda6 ini senang untuk dikawal saat mula memasuki dan keluar dari selekoh.
 

mazda6


Namun bila di atas lebuh raya, sistem gantungan Mazda6 ini mula menunjukkan batasannya apabila penulis cuba untuk mencapai angka yang sukar untuk ditulis dalam artikel ini.

Ternyata keadaan ini lebih memihak kepada Toyota Camry di mana pesaing Mazda6 ini menunjukkan tahap kestabilan dan pengendalian yang meyakinkan apabila dipandu pada kelajuan yang sama.

Seperkara yang membuatkan penulis suka akan Mazda6 ini ialah sistem GVC Plus yang direka untuk memastikan tahap keselesaan yang berpanjangan, di mana rasa penat sukar untuk dirasai walaupun selepas pemanduan jarak jauh.

Sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata, anda perlu rasa dan pandu sendiri Mazda6 ini jika ada peluang.
 

4. Ciri keselamatan pasif dan aktif

mazda6


Untuk makluman, Mazda6 secara standard dibekalkan dengan enam beg udara, sistem ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik, Kawalan Cengkaman, Lampu Berhenti Kecemasan dan Fungsi Bantuan Mula Mendaki.

Ciri keselamatan termaju i-Activsense pula merangkumi ciri seperti lampu utama LED adaptif, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran keluar lorong (LDW), bantuan pengekalan lorong (LKA), amaran tumpuan pemandu (DAA), sokongan brek pintar, Mazda Radar Cruise Control (MRCC) dan Cruising & Traffic Support (CTS).

Atas jalan, ciri keselamatan aktif yang disebutkan itu ternyata berfungsi dengan baik, dengan butang-butang kawalan yang mudah untuk dioperasikan pada roda stereng.

Paling penting, cara sistem tersebut bekerja amat berkesan untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang perjalanan, walaupun penulis sebenarnya lebih gemar untuk mempercayai teknik pemanduan sendiri ketika memegang stereng.

 

5. Sedan yang sedap, namun pada harga yang lebih premium

mazda6


Jikalau anda seorang yang senantiasa mendokong falsafah 'baik beli', Mazda6 20th Anniversary ini bukanlah jawapan yang anda cari.

Untuk sebuah sedan segmen D yang agak berusia, harga jualan yang agak tinggi sekitar RM240 ribu itu mungkin sekali bakal mengecewakan para peminatnya.

Namun bagi penulis, apa yang ditawarkan oleh Mazda6 ini sukar untuk dirasai pada kebanyakan model pesaing.
 

mazda6


Tidak salah rasanya untuk laburkan duit tambahan supaya aspek pemanduan dan keselesaan yang tiada tandingannya dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemilik.

Seperkara yang harus anda tahu, tempoh hayat Mazda6 tidak akan bertahan lebih lama.

Ini kerana menurut laporan terdahulu, produksi sedan tersebut di kilang Jepun bakal berakhir pada bulan April ini bagi memberikan laluan kepada barisan model CX yang lebih praktikal dan disukai ramai.
 

Mazda6


Mungkinkah ini sedan segmen D yang terakhir daripada Mazda? Atau ia bakal dilahirkan sebagai sebuah sedan premium pacuan roda belakang pada masa akan datang? Hanya masa dan permintaan pasaran yang akan menentukan nasib generasi sedan Mazda6.

 

Spesifikasi ringkas Mazda6 20th Anniversary Edition

mazda6


• Enjin empat silinder sebaris Skyactiv-G 2.5 liter
• 192 hp @ 6,000 rpm, 258 Nm @ 4,000 rpm
• Transmisi automatik enam nisbah kelajuan
• Pacuan roda hadapan
• Ruang kargo 489 liter
• Sistem suspensi MacPherson/Multilink
• Rim aloi 19 inci
• Harga RM240,848.00

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Siapa yang tidak kenal dengan SUV Honda CRV yang merupakan SUV terbesar dalam kalangan keluarga SUV…
Telah Diuji
Varian tertinggi terbaharu ini merupakan gabungan trenkuasa hibrid antara petrol dan motor elektrik…
Telah Diuji
Selain daripada jenama automotif Jepun, mereka yang mahukan kelainan boleh mendapatkan SUV jenama…