Pandu Uji Mazda3 2.0L High Plus Liftback - bayangan hot hatch yang tidak kesampaian

oleh Mohamad Hanif|
Kali terakhir Mazda melancarkan hot hatch adalah menerusi model Mazda3 MPS (Mazda Performance Series), atau Mazdaspeed3 di sesetengah pasaran.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Jentera pacuan roda depan itu dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2.3 liter turbo, dengan janaan kuasa sekitar 263 hp dan 380 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual enam nisbah kelajuan.

Sempat bertahan selama dua generasi, Mazda akhirnya membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan penawaran model tersebut.

Alasannya, Mazda merupakan pemain kecil, dan menghasilkan kereta pantas bukanlah satu keutamaan buat mereka, seperti yang diungkapkan oleh presiden Mazda Akira Marumoto pada tahun 2018.
 

Mazda3


Bila mana Mazda3 generasi keempat dilancarkan secara rasmi, penulis terus terpesona dengan kewujudan versi hatchback yang sangat indah itu, walaupun secara jujurnya penulis akui masih lagi seorang peminat tegar bentuk badan sedan.

Versi facelift telah pun dilancarkan beberapa bulan lepas, dan ini merupakan pandangan kami berkenaan hatchback 'sleeper' yang menjadi idaman kaum lelaki dan wanita.

 

1. Rupa paras sporti sejak azali

Mazda3


Setelah lima tahun berlalu, Mazda3 masih lagi kekal dengan imej yang sama.

Bagi penulis, pereka Mazda tidak perlu susah payah untuk memikirkan apa perubahan yang patut dilakukan, kerana Mazda3 ini sudah sedia cantik.
 

m3


Baik dari sudut pandang depan, tepi dan belakang, bahkan kalau duduk diam di kotak parkir pun orang akan menyangka ia sebuah kereta sports 'sleeper' tanpa kit badan yang mengancam dan garisan yang bercelaru.

Ringkas, tapi ada gaya. Minimalis, itu sudah pasti.

Tidak salah untuk penulis sifatkan Mazda3 salah satu kereta Mazda yang paling cantik pernah dihasilkan, selepas Mazda RX-7 FD-3S.

 

2. Kuasa memadai, tapi kalau lebih berkuasa lebih baik!

m3


Untuk model yang dikemaskini ini, Mazda3 tidak lagi ditawarkan dengan enjin bersesaran 1.5 liter Skyactiv-G.

Semua varian kini dibekalkan dengan nadi 2.0 liter Skyactiv-G dengan hamburan kuasa 162 hp dan 210 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam nisbah kelajuan yang memacu roda depan.

Secara peribadi, penulis akui enjin tersebut - walaupun tiada induksi paksaan turbo - sudah lebih daripada memadai untuk menggerakkan jentera seberat 1,400 kg ini.
 

m3


Ia tidaklah sepantas pesaing seperti Civic FE ketika memecut saat lampu bertukar hijau, akan tetapi kelebihan sebenar Mazda3 ini diperlihatkan sewaktu menempuh jalan lama yang berliku-liku dan berselekoh.

Selain pemanduan yang responsif, kadar penggunaan bahan api juga cukup baik, di mana penulis tidak langsung teringat untuk membuat isian semula sepanjang tempoh tiga hari berkelana merentas tiga negeri.

Pada pendapat penulis, Mazda3 ini mungkin jauh lebih menyeronokkan jika ia dipadankan dengan nadi 2.5 liter turbo, seperti yang ditawarkan di luar negara.

 

3. Keselesaan tiada tandingan

gvc


Salah satu kelebihan yang wujud pada Mazda3 hatchback ini yang sukar didapati pada model pesaing ialah G-Vectoring Control Plus.

GCV Plus ini merupakan penambahbaikan kepada ciri GVC sedia ada, untuk menjadikan kereta lebih stabil saat keluar dari selekoh, dengan mengawal kuasa enjin berdasarkan input dan sudut putaran stereng.

Kesan daripada sistem tersebut mungkin sukar dirasai untuk pemanduan jarak dekat, akan tetapi penulis dapat merasakan perbezaan yang ketara apabila membuat pemanduan jarak jauh tempoh hari.
 

gvc


Berbeza dengan jentera segmen yang serupa penulis pandu uji sebelum ini, memandu di dalam Mazda3 hatchback ini tidak langsung membuatkan penulis rasa penat, walaupun untuk tempoh masa perjalanan dan menempuh laluan yang sama.

Aspek keselesaan ditambah pula dengan postur pemanduan yang lebih natural, diikuti dengan tempat duduk balutan kulit yang sedap memegang erat pemandu, dan kadar NVH yang cukup bagus menampan segala kekasaran dan bunyi bising luar daripada masuk ke dalam ruang kabin.

 

4. Apa yang berubah pada ruang kabin?

gc


Untuk kemaskini terbaharu ini, Mazda3 dilengkapi dengan skrin infohibur bersaiz 10.25 inci, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, diikuti slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar dan slot USB-C pada konsol tengah.

Skrin tersebut mungkin nampak kecil berbanding saiz standard industri, namun ada sebab kenapa Mazda menawarkan skrin kecil tersebut - medan penglihatan yang lebih luas.
 

gvx


Daripada sudut pandang pemandu, anda boleh menikmati pandangan luar yang tidak terhalang oleh skrin tengah, tidak seperti kebanyakan model yang ada di pasaran.

Selain daripada itu, susun atur papan pemuka Mazda3 masih lagi kekal minimalis, di mana setiap perkakasan seperti butang tombol HVAC masih lagi berada dalam capaian tangan berdasarkan kedudukan pemandu yang normal.
 

gvc


Tiada sebarang komen yang dapat diberikan terhadap gugusan meter instrumen di sebalik stereng, kerana ia bekerja seperti sepatutnya, memberikan bacaan info yang jelas dan terang tanpa paparan grafik yang merapu.

Tiada lampu pencahayaan ambien? Tidak menjadi satu masalah pun sebenarnya, kerana imej premium Mazda3 ini tidak sesuai dipadankan dengan lampu tomyam tepi jalan!

 

5. Kenapa anda perlu pilih Mazda3 2.0L High Plus hatchback ini?

gvc


Selain daripada sebab yang disenaraikan di atas, Mazda3 menawarkan aspek pengendalian yang cukup baik, walaupun atas kertas ia sebenarnya hanya dibekalkan dengan topang MacPherson di depan dan torsion beam di belakang.

Ya, torsion beam, sistem gantungan yang lebih ringkas jika dibandingkan dengan tetapan multi-link yang wujud pada kereta segmen C yang lain.

Akan tetapi, tetapan ringkas itu tidak membawa makna ia sebuah kereta yang biasa-biasa.
 

gvc


Selain daripada posisi pemanduan yang lebih natural dan lebih rileks, anda juga boleh menikmati kualiti binaan dan pemilihan bahan premium yang dibawakan pada kabin Mazda3.

Sukar untuk mencari pengalaman sedemikian pada model-model pesaingnya.

Paling penting, ia tampil dengan kelengkapan keselamatan Mazda i-Activsense, merangkumi:
• Adaptive Front-Lighting System (AFS)
• High Beam Control (HBC)
• Blind Spot Monitoring (BSM)
• Front Cross Traffic Alert (FCTA)
• Rear Cross Traffic Alert (RCTA)
• Lane Departure Warning (LDWS)
• Lane Keep Assist System (LKAS)
• Driver Attention Alert (DAA)
• Smart Brake Support (SBS)
• Mazda Radar Cruise Control (MRCC)
• Cruising & Traffic Support (CTS)

Di pasaran Malaysia, Mazda 2.0L High Plus Liftback ini dijual pada harga bermula dari RM166,059. Jika anda mahukan Mazda3 yang lebih premium, sambar saja Ignite Edition (dari RM175,059).

 

Spesifikasi ringkas Mazda3 2.0L High Plus Liftback

Mazda


Enjin 2.0L Skyactiv-G, empat silinder sebaris, NA
162 hp, 210 Nm
Kotak gear automatik enam nisbah kelajuan
Pacuan roda depan
Suspensi topang MacPherson depan, torsion beam belakang
Rim 18 inci, tayar 215/45R18
Ruang kargo 295 liter

Berita Berkenaan

Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…
Informasi
Sejak dilancarkan pada penghujung April, PEUGEOT 408 telah menerima maklum balas positif dengan…