Pandu Uji: Kia Picanto 1.2 GT-Line - hatchback segmen A terbaik!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira setahun yang lalu, kami telah diberikan peluang untuk menguji Kia Picanto varian EX, dan percaya atau tidak, ia adalah antara kereta yang benar-benar memberikan kualiti pemanduan yang menyeronokkan.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Rupa luarannya dan dimensi yang agak comel itu, ia sebenarnya salah satu pilihan yang patut diberikan perhatian oleh rakyat Malaysia yang mahukan sebuah kereta bandar yang selesa dan selamat.

Itupun jika mereka tidak mementingkan perihal resale value yang kerap dicanangkan dan dikaitkan oleh pendekar papan kunci Malaya. 

 


Untuk menaikkan seri kereta comel ini, pihak Naza Kia kini membawa satu lagi varian yang lebih sporti dan lebih mengancam jiwa dan raga, iaitu Kia Picanto 1.2 GT-Line. 

Jika dibandingkan sebelah menyebelah, ternyata pakej yang ditawarkan oleh Kia Picanto GT-Line ini berjaya menjadikan hatchback kecil ini seakan-akan sebuah hot hatch yang sebenar. 
 


Lihat sahaja pada penampilan kit badan yang lebih agresif, dan penggayaan elemen moden menguasai luaran Picanto ini seperti lampu projektor LED automatik, lampu LED di belakang dan lampu kabus hadapan yang direka ala-ala matahari itu. 

Menjadikan Picanto ini lebih garang, ialah penggunaan rim bersaiz 16 inci dua tona di keempat-empat sudut ruang roda. 

Hatchback segmen A dengan rim enam belas tatkala pesaingnya hanya memiliki rim 14 inci dan kebanyakan hatchback segmen B masih setia dengan rim lima belas. 

Tak perlu susah-susah lawat kedai untuk beli rim yang sesuai. Nah, Kia bagi yang lagi best untuk anda!
 


Gaya sporti ini diteruskan lagi dengan set ekzos tip berkembar (ya, kami tak tipu!) serta bumbung suria yang saiznya boleh memuatkan seorang dewasa bersaiz seperti Hezeri Samsuri. 

Sedikit perkara yang mungkin buat anda kecewa ialah enjin asal 1.2 liter Kappa masih lagi dikekalkan, dan tidak didatangkan dengan enjin 1.0 liter turbo yang lebih berkuasa (99 hp, 171 Nm) seperti yang ditawarkan pada pasaran luar negara.

Namun, enjin Kappa ini walaupun dengan kuasa 83 kuasa kuda dan 122 Nm daya kilas, ia tidaklah terasa lembab ketika dipandu di jalan raya biasa. 

Pengedaran kuasa menerusi transmisi automatik empat kelajuan juga sangat lancar jika ia tidak dikerahkan secara agresif. 
 


Cuma anda perlu dapatkan momentum yang diperlukan, dan Kia Picanto GT-Line ini sebenarnya mampu untuk mencucuk mana-mana kereta yang berlagak tadi di selekoh-selekoh. 

Mungkin kalau Picanto GT-Line ini hadir dengan transmisi manual dan enjin 1.0 liter turbo akan membuatkan ia lebih agresif. Siapa tahu? 

Menyumbangkan lagi keseronokan memandu ialah stereng berkuasa elektrik yang serba responsif dan hampir tiada perasaan palsu (fake) yang diberikan. 

Dua ibu jari naik ke atas!

 


Memasuki ruang dalaman pula, Kia Picanto GT-Line ini masih kekal dengan interior yang sama seperti Kia Picanto EX yang kami pandu uji tahun lalu. 

Sistem hiburan dengan skrin bersaiz 7 inci itu disokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, dan reka bentuk yang menegak itu memudahkan pemandu untuk melihat informasi yang dipaparkan.

Terutama ketika sedang mengundurkan kereta di kawasan parkir. Jelas, nyata dan paparannya jauh lebih baik berbanding kereta yang berharga lebih mahal!

 


Satu perkara yang penulis suka pada Kia Picanto GT-Line (termasuklah Picanto EX) adalah kerusinya yang memegang erat pemandu dan tidak pula rasa penat walaupun memandu dari Klang menuju ke Jelebu ikut jalan dalam.

Kehadiran ciri seperti perehat tangan walaupun kecil dibatasi dimensi ruang amatlah dihargai untuk sebuah kereta bandar. 

Tidak seperti Kia Picanto EX, Picanto GT-Line hadir dengan penawaran tempat duduk balutan kulit yang diselangi dengan trim berwarna putih dan bukannya merah seperti model GT-Line di luar negara.  
 


Untuk sebuah kereta bandar, spesifikasi asas Kia Picanto sudah cukup lengkap dengan penawaran enam buah beg udara (ya, enam!), ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik, Kawalan Cengkaman, Bantuan Mula Mendaki dan juga cagak ISOFIX berkembar di kerusi belakang.

Namun, apa yang membuatkan Picanto GT-Line ini berbeza RM10 ribu berbanding Kia Picanto EX?

Jawapannya, dua ciri penting yang didatangkan untuk sebuah kereta bandar iaitu Sistem Brek Kecemasan Autonomi dan Amaran Pra-Pelanggaran yang didatangkan secara standard untuk GT-Line. 

Adakalanya, kita mungkin akan tersasar tumpuan pemanduan dan gandingan dua ciri yang disebutkan di atas ternyata mampu menyelamatkan diri daripada sebarang insiden yang tidak diingini. 
 


Ciri kawalan pelayaran pasif juga boleh diakses menerusi butang kawalan di bahagian kanan stereng. 

Satu lagi perkara yang jarang-jarang ada didatangkan pada kereta aras mula adalah sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) yang membolehkan anda memeriksa tekanan tayar bila-bila masa sahaja. 

Maklumlah, kondisi jalan raya Malaysia yang serba cemerlang ini adakalanya boleh jadi penyebab kepada kekurangan tekanan yang diperlukan untuk pemanduan seharian. 
 


Untuk pasaran Malaysia, Kia Picanto GT-Line hanya ditawarkan dalam tiga warna sahaja iaitu Aurora Black, Clear White dan Titanium Silver seperti unit pandu uji kami pada kali ini. 

Dengan harganya yang kini memasuki wilayah hatchback segmen B, adakah RM57,888 ini berbaloi untuk sebuah Kia Picanto GT-Line yang sporti ini? 

Bagi penulis, ciri sporti yang ditawarkan merupakan ciri sampingan, apa yang lebih penting adalah bagaimana untuk menjadikan sebuah kereta bandar yang lebih selamat dan dalam masa yang sama menawarkan perasaan pemanduan yang menyeronokkan. 
 


Mahal bukanlah bermakna tidak baik, kerana Kia Picanto GT-Line ini berjaya membuktikan ia sebenarnya sebuah pilihan yang bijak untuk kereta bandar dengan pakej yang lengkap di dalam lingkungan harga bawah RM60,000.

Untuk ulasan video Kia Picanto GT-Line ini, anda boleh menontonnya di pautan video di bawah:

 

Berita Berkenaan

Telah Diuji
Hadir sebagai generasi kedua, The New All-Electric MINI Cooper menampilkan prestasi dan jarak gerak…
Informasi
Minggu lalu, GWM Malaysia telah mengumumkan harga jualan bagi Tank 300 ini yang diimport sepenuhnya…
Kereta
VW Touareg merupakan SUV pertama bagi jenama VW, tetapi ia seolah-olah ‘underated’ bagi kalangan…