Pandu Uji: Hyundai Tucson 2.0L Elegance - Kimchi kurang Umphh

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Di dalam persaingan SUV segmen C yang lazimnya dikuasai oleh model-model buatan Jepun (dan sebuah SUV tempatan yang diimport sepenuhnya), jenama yang hadir dari negara penghasil Kimchi ini dilihat sedikit tenggelam. 

Hyundai Tucson generasi ketiga sudah pun diperkenalkan beberapa tahun lalu bagi mencabar dominasi yang dipegang oleh Honda CR-V, Nissan X-Trail, Mazda CX-5 serta rakan senegara Kia Sportage. 
 


Tahun 2018, pihak Hyundai Sime-Darby Motors telah memperkenalkan versi facelift yang membawakan ciri-ciri menarik sebagai perencah bagi memberikan sedikit kesegaran kepada Tucson. 

Dua varian ditawarkan, dengan versi tertinggi memakai enjin 1.6 liter turbo T-GDI berkuasa 177 PS dan daya kilas 265 Nm, manakala Careta pula diberikan peluang untuk memandu varian 2.0L Elegance - kekal dengan enjin Nu MPi berkuasa 155 PS/192 Nm. 

Sekali imbas, macam tiada perubahan dilakukan oleh Hyundai pada versi facelift 2018 ini oleh kerana ia masih sebuah model yang sama. 
 


Akan tetapi, jika diperhatikan dengan teliti, anda boleh lihat perubahan yang dibawakan pada gril hadapan baharu dengan kemasan Metallic Silver, dan rekaan lampu kabus juga telah diberikan nafas baharu. 

Nampak kecil akan tetapi ia mampu untuk menarik perhatian lebih banyak mata memerhatikan SUV ini bergerak di atas jalan raya.

Itupun jika mata-mata tersebut bosan dengan SUV perisa Jepunlah. Maklumlah tak semua suka sushi kan?

Secara peribadi, Hyundai Tucson tampak biasa-biasa sahaja, tidaklah terlalu canggih dan sibuk dengan garisan-garisan menjolok mata, namun tidaklah terlalu buruk sehingga mengundang maki hamun mereka yang tidak pernah memegang stereng Hyundai. 
 


Perubahan ketara yang dibawakan pada Tucson 2018 ini sudah tentu di ruang kabin, di mana papan pemuka rekaan baharu menyambut kehadiran pemandu sebelum memulakan perjalanan. 

Bukaan corong pendingin hawa pada kedua-dua belah sisi sistem multimedia telah dialihkan ke bawah, manakala sistem paparan multimedia jenis 'terapung' - lazim digunakan pada kenderaan Hyundai-Kia menggantikan skrin paparan asal. 
 


Kelebihan skrin paparan sudut tegak ini sudah tentu memudahkan penglihatan bagi membaca info pada skrin, malah paparan juga jelas walaupun digunakan dibawah terik matahari. 

Ruang kargo di belakang bersaiz sederhana, 488 liter sahaja oleh kerana penggunaan tayar simpanan bersaiz penuh 17 inci pada ruang tersebut, namun boleh diperbesarkan apabila anda membaringkan kerusi baris belakang. 


 


Pada pendapat penulis, prestasi bukanlah tunjang utama Hyundai Tucson walaupun atas kertas, enjin Nu MPi mampu menghamburkan kekuatan 153 ekor kuda dan daya kilas 192 Nm yang masuk pada putaran enjin 4,000 rpm. 

Ini kerana transmisi automatik konvensional enam nisbah kelajuan yang digunakan seakan-akan tidak membenarkan kuasa yang diperah daripada terus memutar roda hadapan, terutama ketika fasa pecutan dan memotong kenderaan. 

Jadi, lebih baik kiranya SUV ini dipandu secara sopan santun sahaja, dan jika anda bersabar dengan karenahnya, SUV ini sebenarnya mampu untuk dipandu dengan kelajuan yang dibenarkan. 
 


Bacaan penggunaan bahan api sepanjang kami gunakan Tucson ini juga sedikit tinggi - 10.9 liter/100 km jika dibandingkan dengan bacaan rasmi yang diberikan (7.9 liter/100 km NEDC), mungkin kerana secara puratanya penulis banyak menghabiskan masa di dalam bandar menempuh lampu isyarat merah di Kotaraya. 

Dari segi pengendalian di dalam bandar serta jalan-jalan lama, anda akan lebih menghargai apa yang ditawarkan pada Hyundai Tucson ini kerana walaupun kekurangan kuasa, ia memberikan pemanduan yang selesa dengan kawalan yang memuaskan.

Terima kasih kepada penggunaan sistem suspensi MacPherson hadapan dan tetapan multi-link di belakang, perjalanan ketika pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan tidaklah begitu memenatkan walaupun terpaksa mengharungi jalan yang berliku dan mendaki Bukit Putus yang tinggi itu. 
 


Hyundai Tucson 2.0L Elegance 2018 ini masih mengekalkan ciri-ciri keselamatan yang dibawakan pada model terdahulu, seperti beg udara SRS, brek anti-kunci ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik ESC, Kawalan Bantuan Mula-Mendaki HAC, Kawalan Brek Menurun Bukit DBC, Sistem Bantuan Brek BAS serta Pengurusan Kestabilan Kenderaan VSM sebagai ciri standard. 

Bagi penulis, sekiranya anda tidak begitu kisahkan apa jua kata-kata orang dan percaya dengan apa yang Hyundai tawarkan untuk sebuah SUV segmen C berharga RM119,188 (atas jalan tanpa insurans), ia mampu memberikan pengalaman pemanduan yang unik kepada anda. 

Jika anda bukan seorang yang suka ikutkan trend (Jepun dan China), mungkin sebenarnya jiwa anda lebih sesuai dengan SUV dari negara Kimchi ini?
 


Spesifikasi ringkas Hyundai Tucson 2.0L Elegance

Enjin: Nu MPi 2.0 liter
Kuasa: 153 hp/192 Nm
Sistem pacuan: Roda hadapan
Transmisi: Automatik enam nisbah kelajuan
Penggunaan bahan api: 7.9 liter/100 km (NEDC)
Kapasiti tangki: 62 liter
Kapasiti kargo: 488 liter
Ciri keselamatan: dua beg udara, ABS, ESC, HAC, DBC, BAS, VSM, cagak Isofix

Harga: RM119,118 atas jalan tanpa insurans

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
Baru-baru ini, Hyundai mengumumkan kemunculan rasmi dua buah model SUV Ioniq 5 dan Tucson dalam…
Berita Global
Serentak dengan itu, pengeluar kenderaan dari Korea itu mula menerbitkan beberapa gambar teaser…
Berita Global
Berdasarkan informasi tersebut, Gotcha Cars telah pun hadir dengan imej rendering yang mungkin…